Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 hari ini, penyanyi dan pelakon berbakat dari Sarawak, Pretty Nina, tampil berkongsi pandangannya mengenai erti kemerdekaan, cabaran zaman digital serta aspirasinya terhadap generasi muda dalam mempertahankan warisan bangsa.
Bagi Pretty Nina, 31 Ogos bukan sekadar tarikh bersejarah dalam kalendar, sebaliknya menjadi detik untuk bermuhasabah dan menghargai nikmat kebebasan, keamanan serta pengorbanan pejuang generasi terdahulu.
Ujarnya, keharmonian yang dinikmati hari ini ialah warisan berharga yang perlu dipelihara melalui perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat.
Seiring dengan perkembangan dunia yang semakin pesat, dia mengakui cabaran utama hari ini adalah untuk memastikan gelombang digital dan pengaruh budaya luar tidak mengikis semangat patriotisme generasi muda.
“Pengaruh dunia digital amat luas dan bergerak pantas.
Oleh itu, amat penting untuk kita memastikan generasi muda tetap berpegang teguh pada jati diri, sejarah serta budaya negara sendiri supaya identiti tanah air tidak lenyap begitu sahaja,” katanya kepada Suara Sarawak.
Bagi mendekati golongan muda, Pretty Nina mencadangkan agar semangat cinta akan negara dipupuk menerusi kaedah yang selari dengan jiwa mereka.
Pendekatan kreatif seperti karya seni, muzik, platform media sosial dan aktiviti interaktif disifatkan sebagai wahana terbaik untuk menyemai kesedaran tentang sejarah dan kekayaan budaya Malaysia secara lebih santai tetapi berkesan.
Sebagai anak seni kelahiran Sarawak, Pretty Nina meluahkan rasa bangga yang mendalam terhadap Bumi Kenyalang.
Menurutnya, Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri yang ditemukan di tempat lain, terutama dari segi kepelbagaian budaya, keharmonian masyarakat berbilang etnik serta keindahan alam semula jadinya.
Baginya, kepelbagaian unik itu bukan sahaja menjadi lambang keharmonian, malah menjadi sumber inspirasi yang kaya dengan pelbagai kisah untuk diterjemahkan dalam karya seninya.
Menyentuh harapannya sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-69, dia mahu melihat generasi muda memanfaatkan kebebasan yang dinikmati dengan sebaik-baiknya.
Justeru, dia berharap mereka bukan sahaja menghargai keamanan yang dikecapi, malah menggunakan kebebasan tersebut untuk melakukan perkara positif yang dapat memberikan manfaat kepada pembangunan negara.
Mengenai perkembangan terkini dan perancangan kerjayanya,
Pretty Nina berkongsi bahawa dia masih aktif dalam industri hiburan serta sentiasa meneroka peluang dan karya baharu.
Katanya, sasaran utamanya dalam bidang seni bukan sekadar untuk menghiburkan pendengar dan penonton, tetapi juga untuk terus menghasilkan karya yang mempunyai nilai estetika serta kisah bermakna yang mampu memberikan kesan positif kepada masyarakat






