Previu Liga Premier: Kudrat tempatan

PEMANGKU jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail akan menurunkan sebahagian besar pemain tempatan untuk aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Sarawak malam ini (Sabtu).

Turun dengan misi mesti menang, anak-anak buah Denny tiada pilihan kecuali berusaha keras untuk memastikan tiga mata dalam genggaman.

“Peluang akan diberikan kepada majoriti pemain tempatan kita.

“Kita mahu semangat Ngap Sayot akan mengiringi pasukan nanti,” jelas Denny kepada Suara Sarawak.

Ini bermakna, tiada tempat bagi import dari Brazil, Rodrigo Amorim yang gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan.

Rodrigo hambar ketika tewas kepada UKM dan Sabah baru-baru ini. Lebih memburukkan keadaan aksinya lebih teruk daripada pemain tempatan.

Sementara itu, tiada penggantungan pemain, cuma kecederaan yang melanda seorang pemain (Firdaus).

Sarawak kini kekal di tangga tercorot setelah kalah 10 kali, seri empat kali dan hanya dua kali menang.

Mereka perlu bangkit dalam baki empat aksi bagi mengelak saingan “play-off”.

Dua pasukan terbawah Liga Premier akan menentang dua pasukan teratas Liga M3 bagi merebut dua slot Liga Premier 2020.

Sarawak dan Kelantan merupakan dua pasukan terbawah Liga Premier ketika ini, manakala Kuching FA dan Kelantan United menguasai dua teratas Liga M3.

Suara Sarawak