INTEGRITI adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan seumpamanya yang berperanan besar dalam membina tingkah laku dan sahsiah manusia untuk menjadi sempurna.
Nilai yang baik (mahmudah) menampilkan norma dan piawaian tingkah laku yang terbaik dalam kehidupan seseorang manusia manakala, nilai integriti ini pula terbentuk melalui sifat amanah, jujur dan kebolehpercayaan dalam memelihara kepentingan awam tanpa mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.
Yang pastinya, seorang yang berintegriti digambarkan sebagai individu yang sentiasa berpegang teguh dan jujur serta mempunyai prinsip moral yang tinggi.
Dalam konteks sektor perkhidmatan awam pula, integriti sentiasa diberi penekanan sebagai kualiti asas yang perlu ada dalam jiwa setiap kakitangan apatah lagi ketika ini, rakyat sedang memerhati dan menghakimi kualiti perkhidmatan kerajaan serta agensi-agensinya.
Pada masa yang sama, mereka diberi ruang mula mendengar dan meneliti cadangan serta aduan yang dipanjangkan oleh rakyat supaya perkhidmatan awam kekal relevan dan berkualiti tinggi sejajar dengan perubahan masa.
Justeru, keruntuhan nilai integriti dalam kalangan pegawai awam khususnya pegawai penguatkuasa akan menjejaskan imej serta keyakinan masyarakat kepada sesebuah agensi.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas), Datuk Abdullah Saidol mengingatkan penjawat awam termasuk ketua masyarakat ketua masyarakat diingatkan agar sentiasa berintegriti melaksanakan tanggungjawab terutama yang melibatkan pengurusan kewangan.
Menurutnya, integriti, tadbir urus yang baik dan cekap merupakan tunjang utama kecemerlangan sesebuah organisasi sejajar keputusan kerajaan meluluskan Rang UndangUndang Ordinan Ombudsman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas.
Rang undang-undang yang pertama seumpamanya di Malaysia itu bukan sekadar mengukuhkan elemen integriti dalam pentadbiran kerajaan sebaliknya, memastikan tiada ketirisan dalam pengurusan dana pembangunan negeri sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
Inisiatif penting itu juga dilihat mampu menyumbang ke arah pembentukan persepsi yang jauh lebih baik dan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara pada masa depan.
CPI negara pada tahun 2022 dilaporkan meningkat kepada tangga 62 ke 61 daripada 180 buah negara, namun indeks yang dikeluarkan Transperancy International menunjukkan ukuran skor Malaysia menurun satu mata kepada 47 berbanding 48, pada tahun sama.
Dalam pada itu, Malaysia berada di kedudukan 61 dari kalangan 180 negara dalam CPI terkini iaitu, meningkat satu tempat berbanding tahun lepas.
Penambahbaikan ini memberangsangkan kerana ia menunjukkan bahawa Malaysia telah meletakkan langkah-langkah yang tepat dalam usaha berterusan untuk memerangi rasuah.
Perlu juga disedari bahawa semakin tinggi kedudukan sesebuah negara dalam senarai penarafan itu, semakin cekap prestasi perkhidmatan awam di negara tersebut, sekali gus memberi kesan baik ke atas penarafan keseluruhan daya saing negara.
Usaha pencegahan rasuah, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia(HRD Corp) dilaksanakan menerusi pengenalan tiga dokumen teras iaitu perakuan integriti, Laporan Tadbir Urus Kor (2017-2022) dan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2021-2025 yang selaras dengan Pelan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.



