ARTIKEL

Mendiang Lee Kee Hiong

PRK Kuala Kubu Baharu pengukur sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KEBELAKANGAN ini timbul satu polemik tentang sokongan pengundi bukan Melayu kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Adakah mereka masih menjadi ‘fixed deposit’ DAP seperti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 setahun setengah yang lalu?

Pertanyaan itu telah dibicarakan oleh Khairil Anwar Mohd Amin dalam satu artikel yang ditulisnya untuk Sinar Daily beberapa hari yang lalu.

Ia juga diajukan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, ketika beliau muncul tempoh hari dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ di YouTube.

Persoalan itu timbul ekoran kenyataan atau tuduhan yang dibuat oleh segelintir pihak bahawa DAP sudah menjadi ‘lapdog’ (anjing suruhan) UMNO selepas mereka bergabung untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai pengundi bukan Melayu, yang menyokong DAP sejak sekian lama, kini ditanggapi tidak begitu berpuas hati dengan parti itu yang dikatakan tidak lagi berpegang kepada prinsip ataupun sudah hilang taring selain tidak menunaikan janji reformasi.

Bagi rakyat yang tidak menyokong mana-mana parti (non-partisan), Anthony Loke menjawab persoalan tersebut dengan agak meyakinkan dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ tetapi tetap menimbulkan tanda tanya.

Menurut Felow Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali, pendekatan DAP kini lebih sederhana ataupun ‘centrist’ (berhaluan tengah) dan kurang keras sejak mereka menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan sehinggakan parti itu ditanggapi sudah perlahan-lahan berubah menjadi MCA 2.0.

“Bagi segmen bukan Melayu, terutamanya masyarakat Cina di bandar, mereka memandang politik dari perspektif manfaat yang diperoleh daripadanya tanpa diikat oleh pemahaman moral berdasarkan lensa agama dan etnik,” kata Asri.

Bagaimanapun, menurut Asri, buat masa ini pengundi bukan Melayu tidak ada alternatif lain yang lebih baik daripada DAP, dan ini bermakna ia sekurang-kurangnya dapat mempertahankan sokongan pada PRU16 nanti.

Pada pendapat bekas ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, DAP kini dirasakan sudah mengambil hala tuju yang berbeza dan tidak lantang memperjuangkan isu keharmonian etnik.

“DAP tidak boleh menjadi terlalu sederhana walaupun mereka berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

DAP sudah pun dikenal pasti akan mengetengahkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei akan datang, malah Wanita DAP telah mengetengahkan beberapa nama.

Perikatan Nasional pula masih ‘bersilat’ apabila Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam menyatakan “apabila kami menurunkan calon nanti, dia akan datang daripada Perikatan, bukan daripada Bersatu, PAS atau Gerakan”.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu kosong ekoran kematian penyandangnya dari DAP, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli DUN Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut dengan kanser sejak beberapa tahun lepas.

Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu nanti dijangka akan menjawab sedikit sebanyak persoalan mengenai keutuhan sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP atau sebaliknya.

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)