ARTIKEL

Dr Joohari Ariffin ditemu bual selepas berkempen sempena PRK DUN Sungai Bakap di Kampung Permatang Ara hari ini.

PRK Sungai Bakap: Pengundi atas pagar akan kembali sokong PH-BN – Cikgu Joohari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NIBONG TEBAL, Seberang Perai, Pulau Pinang: Pengundi atas pagar akan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini, kata calon PH bagi PRK itu, Dr Joohari Ariffin.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan respons positif yang diterima daripada pengundi atas pagar ketika tempoh kempen, sekali gus memperlihatkan kecenderungan mereka untuk memilih PH-BN.

“Ada pelbagai faktor kecenderungan itu berlaku, antaranya (kewibawaan) calon dan usaha jentera kempen yang bekerja kuat.

“Saya sangat hormati dan teruja dengan sumbangan yang jentera berikan.

“Sebab itu, saya yakin mereka akan pusing balik (kembali menyokong) seperti mana pada pilihan raya-pilihan raya dulu. Yang (pengundi) putih pula, insya-Allah (tetap menyokong PH),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan program Ziarah Kasih ke rumah seorang bekas kakitangan Jabatan Laut di Kampung Permatang Ara, Sungai Jawi, di sini hari ini.

Turut menyertai beliau dalam program itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Dengan kempen berbaki hanya tiga hari lagi, Joohari berkata usaha untuk mendekati semua pengundi, termasuk secara fizikal dan dalam talian, sudah hampir selesai.

Beliau turut berharap usaha itu dapat menyumbang kepada jumlah peratusan keluar mengundi yang tinggi, iaitu mencecah 80 peratus.

Bekas guru itu juga berkata sekiranya kemenangan berpihak kepadanya pada 6 Julai ini, ia adalah hadiah yang paling bermakna buat dirinya yang akan menyambut hari jadi pada 17 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap pada Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar oleh Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU