ARTIKEL

PRN Johor: Anwar Rayu Rakyat Johor Beri Peluang Pada PH

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu rakyat Johor memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berkhidmat kepada negeri itu, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata gabungan itu beriltizam untuk bekerja bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kepentingan Johor, sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

“Berbaki hanya beberapa hari sebelum rakyat Johor membuat pilihan, saya merayu agar diberikan peluang kepada HARAPAN untuk berkhidmat kepada negeri ini.

“Insya-Allah, kami akan bekerja bersungguh-sungguh, mempertahankan kepentingan Johor dan memastikan kemajuan yang dibawa benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.

Anwar turut menyeru anak-anak Johor supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Sabtu ini.

Menerusi hantaran berasingan semalam, beliau menggunakan serangkap pantun bagi mengajak pengundi pulang mengundi demi masa depan negeri.

“Laksa Johor tiada tandingan,

Warisan nenda dikenang selalu;

Ayuhlah pulang membawa harapan,

Makmurlah negeri bertambah maju.”

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. 

– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU