Pengundi muda Melaka diseru menilai maklumat dan fakta dengan teliti sebelum membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 Nov.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, menasihati golongan itu agar tidak terpengaruh dengan sentimen dan politik kebencian.
Menurut beliau, pengundi berusia 18 hingga 39 tahun merangkumi 47.34 peratus daripada 687,697 pemilih berdaftar, sekali gus berupaya mencorakkan masa depan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, PKR meletakkan tujuh muka baharu daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi selepas penelitian rapi terhadap kesesuaian calon dengan kawasan masing-masing.
Parti itu turut menyasarkan beberapa kerusi yang telah dikenal pasti dan peningkatan jumlah undi di semua kerusi yang ditandingi berbanding PRN Melaka 2021, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 Nov seperti dilapor Bernama.






