SERIAN: Penyandang Dun Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail mendedahkan bahawa beliau tidak pasti sama ada terpilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN-12) akan datang.
Menurutnya, dirinya juga tidak dapat memberi sebarang kepastian dan semuanya bergantung kepada prestasi seseorang calon sepanjang menjadi wakil rakyat sebelum ini.
“Saya berharap orang ramai dapat memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang akan dicalonkan kelak bagi memastikan kesinambungan pembangunan kerajaan dapat diteruskan dan tidak tergantung tengah jalan.
“Kerajaan kini komited dalam memastikan semua kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi lengkap sepenuhnya bagi tempoh 2025 hingga 2030,” katanya dalam Majlis Penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP), di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kepada pengundi bahawa sekarang bukan masa untuk mencuba untuk memilih kerajaan.
“Hal ini kerana, kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku lagi dan menyebabkan semua orang merana nanti,” katanya.
Pada PRN-11, sejarah tercipta dalam landskap politik di kerusi Bukit Kota apabila Dr Abdul Rahman Ismail diumumkan menang tanpa bertanding.



