ARTIKEL

Abdul Karim

PRN Sarawak boleh diadakan lebih awal – Karim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh diadakan lebih awal sebelum tamat penggal pada 2027, bergantung kepada keputusan kepimpinan negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dari segi perundangan, Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dibubarkan lebih awal dan perkara itu pernah berlaku sebelum ini.

“Sekarang kita masih berada pada 2025, ada lagi tahun 2026, dan sebelum 2027. Jika kepimpinan mahu mengadakannya lebih awal, ia boleh dilakukan.

“Dari segi perundangan, memang kita masih ada masa sehingga 2027, tetapi itu tidak bermakna pilihan raya mesti menunggu sehingga tarikh itu. Ia boleh diputuskan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menulis DayakDaily 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas khabar angin kononnya PRN akan diadakan pada tahun depan, Abdul Karim menegaskan perkara itu hanya diketahui oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, pertimbangan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal lazimnya mengambil kira faktor politik semasa, keperluan pentadbiran dan strategi dalam memastikan mandat rakyat diperbaharui.

Beliau menambah, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa, begitu juga dengan GPS secara keseluruhan.

Untuk rekod, PRN Sarawak terakhir diadakan pada 18 Disember 2021, manakala tempoh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya berakhir pada 14 Februari 2027, iaitu lima tahun selepas sidang DUN pertama pasca-PRN-12 pada 14 Februari 2022.

Ini bermakna PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027, namun menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, ia mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat penggal DUN.

Peruntukan ini pernah digunakan pada PRN-12, apabila pilihan raya ditangguhkan sehingga Disember 2021 selepas tempoh DUN berakhir pada 6 Jun 2021 berikutan penularan Covid-19. Bagaimanapun, sama ada terdapat wabak atau tidak, perkara itu tetap termaktub dalam perlembagaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU