KUCHING: Pertembungan antara Presiden DAP Sarawak Chong Chieng Jen dengan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian di kerusi panas, Batu Kawa tidak menjadi kenyataan.
Ia susulan Chong mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi Padungan, manakala Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii bakal berentap di kerusi Batu Kawa.
Ia merupakan antara nama yang diumum akan bertanding di enam kerusi kawasan Kuching pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak dalam sidang media DAP Sarawak, hari ini.
Menurut Chong, penyandang kerusi Dun Pending Violet Yong akan terus mempertahankan kawasannya, Abdul Aziz Isa Marindo (Batu Kitang), Leslie Ting (Stakan) dan muka baharu, Michael Kong Feng Nian (Kota Sentosa).
Ditanya mengapa beliau tidak mempertahankan kerusi Kota Sentosa, Chong berkata memandangkan mantan Adun Padungan, Wong King Wei telah keluar parti, beliau berasa ia merupakan tanggungjawabnya sebagai presiden untuk mempertahankan penduduk di kawasan itu.
Chong telah mewakili Dun Kota Sentosa selama tiga penggal sejak 2006 dan pada PRN-11 beliau terus mendominasi kawasan itu tiga penggal berturut-turut menewaskan calon SUPP, Yap Yau Sin.
Manakala pada Jun 2020, Wong mengumumkan bahawa beliau menolak penamaan semula parti itu untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya dan melepaskan jawatan sebagai naib pengerusi DAP Sarawak serta keluar dari parti itu.
Sementara mengenai pemilihan Yii sebagai calon Batu Kawa, Chong berkata ia kerana beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains dan Inovasi.
“Kami berpendapat pengalaman, pengetahuan dan kepakaran Kelvin mempengerusikan jawatankuasa pilihan khas peringkat kebangsaan ini amat diperlukan dan amat membantu negeri ini sekiranya beliau diberi peluang berada di DUN,” ujarnya.
Sementara itu, Kelvin berkata beliau mengiktiraf cabaran yang akan datang sebagai satu tugas yang sukar, terutama menentang Dr Sim di Batu Kawah namun berharap dapat membawa suaranya ke DUN Sarawak bagi menyumbang kepada hala tuju dan dasar negeri ini.