ARTIKEL

Datuk Ding Kuong Hiing menyaksikan pameran sempena Program Jelajah Pendidikan Pro-Dr di SMK Kai Chung, Meradong.

Pro-Dr 2026 buka lebih banyak laluan pendidikan pelajar luar bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Pelajar luar bandar kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menentukan hala tuju pendidikan selepas tamat persekolahan menerusi Program Jelajah Pendidikan Pro-Dr yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak melalui Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program berkenaan penting dalam membantu pelajar memahami pilihan pendidikan yang tersedia, sekali gus membuat keputusan berdasarkan pencapaian akademik, minat dan kebolehan masing-masing.

Pendedahan sedemikian, katanya, amat diperlukan khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar yang mungkin kurang mendapat maklumat mengenai laluan pendidikan serta institusi pengajian tinggi yang boleh disertai selepas menamatkan persekolahan.

“Pelajar yang menunjukkan prestasi akademik yang baik mempunyai peluang untuk memilih universiti dan bidang pengajian yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Pada masa sama, pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik tidak seharusnya menganggap peluang untuk berjaya sudah tertutup kerana mereka masih boleh memilih laluan kemahiran dan teknikal melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Pro-Dr 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung, di sini, hari ini.

Ding berkata, kewujudan pelbagai laluan pendidikan membolehkan setiap pelajar merancang masa depan mengikut kekuatan dan kecenderungan masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

Katanya, program seperti Pro-Dr juga dapat membantu pelajar mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bidang pengajian, institusi pendidikan serta peluang kemahiran yang boleh menjadi pilihan mereka selepas tamat persekolahan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan TEGAS kerana meneruskan inisiatif berkenaan untuk manfaat pelajar di Meradong.

“Usaha membawa program ini ke Meradong setiap tahun amat kita hargai kerana ia memberi ruang kepada pelajar mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang pendidikan yang tersedia untuk mereka.

“Dengan pendedahan yang mencukupi, saya berharap pelajar dapat membuat pilihan yang tepat berdasarkan kemampuan, minat dan bidang yang ingin diceburi bagi membina masa depan masing-masing,” katanya.

BERITA LAIN

Pesta Tanglung Mukah 2026 tarik 7,000 pengunjung

MUKAH: Kira-kira 7,000 pengunjung membanjiri Pesta Tanglung Bahagian Mukah 2026, mencatatkan peningkatan kehadiran berbanding penganjuran tahun sebelumnya. Pesta yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada

BERITA TERBARU