Produktiviti buruh melantun 2.2 peratus

Tenaga buruh amat penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Kadar penyertaan tenaga buruh yang ramai dan berkemahiran secara langsung membantu meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

Kadar penyertaan tenaga buruh pada Januari 2019 naik 0.1 mata peratus kepada 68.6 peratus, berbanding bulan sebelumnya dan meningkat 0.4 mata peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas (Januari 2018: 68.2%).

Bilangan tenaga buruh pada tempoh yang sama naik 2.1 peratus berbanding Januari 2018 kepada 15.51 juta orang.

Pada tempoh yang sama, penduduk yang bekerja turut meningkat 2.2 peratus kepada 14.99 juta orang.

Kadar pengangguran pada Januari 2019 kekal 3.3 peratus semenjak September 2018.

Tenaga buruh juga dikaitkan dengan produktiviti yang dimiliki.

Mengikut laporan, produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.2 peratus dari tahun ke tahun kepada RM91,971 pada 2018 daripada RM89,925 sebelum ini.

Memetik Laporan Produktiviti 2018/2019, sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM86,921, diikuti dengan pembinaan (+ 3.4 peratus tahun ke tahun kepada RM43,882) dan pembuatan (+ 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM121,841).

Tahun ini, sektor pembuatan diunjurkan tumbuh pada 4.8 peratus, disokong oleh perubahan ke arah produk nilai tambah yang tinggi, kepelbagaian dan kompleks.

Sementara itu, sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar yang rendah iaitu 5.7 peratus pada 2019.

Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun, masing-masing sebanyak 2.4 peratus dan 3.5 peratus pada 2018, Laporan Produktiviti 2018/2019 menunjukkan angka tersebut masih rendah berbanding masing-masing 3.9 peratus dan 4.2 peratus pada 2017.

Pertumbuhan yang menyusut itu disumbangkan terutamanya oleh eksport yang rendah di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global.

Malaysia merupakan negara pembuatan. Ternyata, terdapat isu berkaitan eksport memandangkan kebanyakan negara mengurangkan pesanan dan kontrak.

Namun, bukan kita sahaja negara yang berdepan kesan daripada perang perdagangan yang masih berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Kita masih menyaksikan lencongan yang baik dan pesanan memberangsangkan daripada negara lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, tenaga buruh juga memberi kesan kepada unjuran pelaburan langsung asing dan ia akan terus berkembang pada akhir tahun ini.

Sesungguhnya sumbangan tenaga buruh yang berkualiti serta berkemahiran tinggi amat penting dalam pembangunan negara terutama ke arah negara maju sekali gus merealisasikan impian sebagai Harimau Asia.