KUCHING: Suasana riang bercampur cemas menyelubungi Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini apabila kanak-kanak menunggu giliran untuk menjalani prosedur berkhatan.
Wajah mereka menampilkan pelbagai emosi, daripada gugup dan teruja sehinggalah leka bermain permainan video bagi menenangkan diri sebelum prosedur dijalankan.
Keterujaan turut jelas terpancar pada wajah ibu bapa, khususnya mereka yang membawa anak untuk berkhatan buat kali pertama.
Program berkhatan beramai-ramai itu bukan sahaja memberi pengalaman berbeza kepada kanak-kanak, malah membuka ruang kepada keluarga bukan Muslim untuk memahami dan menghargai amalan berkhatan sebagai langkah penting dalam menjaga kebersihan serta kesihatan.

Seorang bapa, Didi Sherman Lo, 44, dari Kuching berkata keputusan membawa anak lelakinya berkhatan pada usia 12 tahun dibuat selepas berjaya memujuk anaknya yang pada awalnya berasa takut untuk menjalani prosedur tersebut.
Menurutnya, beliau menjelaskan kepada anaknya bahawa berkhatan merupakan amalan penting demi kebersihan dan kesihatan, selain tidak dapat dielakkan.
“Saya juga memberi contoh abangnya yang sudah melalui prosedur ini sebelum ini.
Alhamdulillah, hari ini anak saya berpeluang menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai Tahunan Sarawak 2025, sekali gus mengurangkan rasa takut apabila melihat rakan-rakan lain menjalani pengalaman yang sama,” katanya ketika ditemui.
Beliau menambah, program seumpama itu mampu memberi semangat dan motivasi kepada kanak-kanak untuk memberanikan diri.
“Jika dilakukan secara bersendirian, mungkin mereka lebih takut, tetapi apabila beramai-ramai, keyakinan itu meningkat.
Amalan berkhatan telah lama diamalkan termasuk dalam kalangan keluarga bukan Muslim, dan dengan kemajuan perubatan masa kini, ia terbukti memberi manfaat kepada kesihatan serta pencegahan penyakit,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi ibu, Siti Nordiana Khalid, 27, dari Kampung Tabuan berkata, beliau mengambil peluang mendaftarkan anaknya dalam program tersebut kerana kos yang berpatutan serta suasana yang memberi sokongan emosi kepada kanak-kanak.
“Ini anak pertama saya yang berkhatan, jadi sebelum ini memang tiada pengalaman.
Syukur anak saya tidak takut dan berani menjalani prosedur ini. Saya dan suami sentiasa memberi semangat agar dia lebih yakin,” katanya.
Beliau berkata, maklumat mengenai program itu diperoleh daripada rakan yang suaminya bekerja di HUS.
Menurutnya lagi, suasana meriah dan pelaksanaan berkhatan secara beramai-ramai membantu kanak-kanak menjadi lebih berani serta mengurangkan rasa gementar.
“Oleh itu, saya sangat menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak menyertai program seperti ini kerana ia membantu meningkatkan keyakinan mereka,” katanya.
Program berkhatan beramai-ramai itu bukan sahaja menjadi pengalaman bermakna buat kanak-kanak, malah turut mengukuhkan kesedaran ibu bapa daripada pelbagai latar belakang tentang kepentingan kebersihan dan penjagaan kesihatan sejak usia muda.





