KUCHING: Program BugCrusher Junior Coding Hackathon 2025 terus mencetus impak dalam dunia pendidikan digital apabila berjaya menghimpunkan seramai 1,272 peserta dari seluruh negara, termasuk 528 pelajar dan 176 guru dari Sarawak.

Program berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ini merupakan inisiatif hasil kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan Pusat Pembelajaran Realfun.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman menyifatkan program yang telah dianjurkan sejak tahun 2020 ini menyerlahkan kepelbagaian dan penggunaan digital dalam kalangan pelajar di seluruh negara.
“Kini program ini telah memasuki edisi keenam dan terus diangkat sebagai antara program STEM paling progresif di Malaysia. Bahkan, BugCrusher merupakan satu platform pertandingan yang mampu memupuk minat dan keyakinan pelajar terhadap teknologi serta inovasi.
“Tahun ini, kita menampilkan dua kategori utama iaitu Junior bagi umur 10 hingga 12 tahun menggunakan Scratch, manakala kategori Senior bagi umur 13 hingga 15 tahun menggunakan Advanced Scratch,” ujar beliau ketika hadir bagi pertandingan BugCrusher Junior Coding Hackathon 2025 di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau turut meluahkan rasa bangga apabila program ini berjaya menembusi 19 kawasan luar bandar di Sarawak, melibatkan 300 pelajar serta 100 guru.
“Lebih membanggakan, finalis akhir program ini terdiri daripada pelajar pelbagai negeri termasuk Sarawak, Sabah, Pulau Pinang dan Selangor.
“Program ini melatih pelajar berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah dan menggali potensi diri. Apa yang menjadikan BugCrusher luar biasa adalah hubungan erat antara pelajar dengan guru yang bersama-sama belajar, meneroka dan mencipta,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif di bawah SDEC telah memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pendidikan STEM yang inklusif dan mampan.
“Melalui pelibatan berterusan, bimbingan serta program susulan, program seperti ini menjadi pemangkin minat jangka panjang dan jaringan sokongan di sekolah serta komuniti.
“Ia menanam benih kepada ekosistem tempatan agar pelajar boleh terus berkembang, berkolaborasi dan meneroka dunia STEM,” jelasnya.
Tambah Sudarnoto, SDEC terus memperkukuh asas tersebut melalui pelaksanaan program seperti Path Crusher, Junior Innovate, Young Innovators Challenge, NASA Space Act Sarawak, Girls’ Code Challenge dan yang terbaharu, Science Castle.
“Program ini merupakan batu loncatan untuk pelajar mengorak langkah lebih jauh, menimba ilmu baharu dan mengenal potensi diri,” ujarnya.
Menyentuh mengenai impak program tahun ini, beliau berkata Path Crusher berjaya menjangkau kawasan luar bandar seperti Mukah dan Lawas, melibatkan 100 pelajar luar bandar — satu pencapaian yang membanggakan.
“Kami amat berbesar hati melihat penyertaan daripada komuniti Science on Wheels. Ada dalam kalangan mereka telah bersama kami sejak beberapa tahun lalu dan kini jelas menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan dan kemahiran. Tidak kurang juga peserta baharu yang mula mengenali dunia STEM,” katanya.


