KUCHING: Tiga program baharu diperkenalkan semasa Program Festival Kuching 2025 anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi memenuhi minat generasi muda masa kini.
Festival tersebut bakal berlangsung pada 25 Julai sehingga 17 Ogos depan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, tiga program itu ialah kejohanan Pickleball Datuk Bandar MBKS, Pertandingan Peragaan Busana (Costume Play) dan Pertandingan Tarian K-Pop.
“Kejohanan Pickleball akan diadakan pada 2 hingga 3 Ogos depan, yang menampilkan beberapa kategori iaitu beregu wanita terbuka, beregu lelaki terbuka, beregu campuran terbuka dan beregu lelaki veteran terbuka.
“Hadiah menarik menanti pemenang termasuk wang tunai, peralatan sukan, pingat, piala dan sijil.
“MBKS juga akan memulakan bulan komuniti sukan pickleball sepanjang Julai depan dengan mengadakan latihan pada setiap Sabtu, 9 hingga 11 pagi di gelanggang PicklePro Kuching,” katanya dalam sidang media pengumuman Festival Kuching 2025 di sini.
Tambah beliau, Pertandingan Peragaan Busana (Costume Play) pula diadakan pada 2 Ogos di Teater MBKS.
Ujarnya, di tempat yang sama, pada 3 Ogos pula, MBKS menganjurkan Pertandingan Tarian K-Pop.
“Pertandingan ini terbuka kepada peserta dari luar Sarawak dan kita mengalu-alukan ramai penyertaan untuk mempamerkan bakat mereka dalam festival ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Hong Seng memberitahu bahawa Fiesta Zumba Kuching yang pertama kali diperkenalkan pada 2015 akan merayakan ulang tahun ke-10.
Katanya, MBKS menyasarkan 10,000 peserta mengikuti tarian zumba sekali gus mencipta sejarah dengan memecah Buku Rekod Malaysia dengan penyertaan terbesar dalam acara tersebut.
“Marilah datang beramai-ramai memeriahkan acara tersebut selain mencipta rekod kebangsaan.
“Pendaftaran untuk penyertaan bermula hari ini (28 Jun) dan boleh dilakukan dalam aplikasi iPeople,” jelasnya.



