KUCHING: Program Hadis dan Isnād al-Muwaṭṭa’ wajar diperluas serta dijadikan agenda tahunan pembangunan insan, bukan sahaja di peringkat negeri malah kebangsaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof berkata, program berkenaan penting bagi memastikan ilmu yang diperoleh peserta diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan rakaman sempena Majlis Penutupan Program Majlis Hadis dan Isnād al-Muwaṭṭa’ Imam Malik Peringkat Negeri Sarawak 2026, di sini, malam tadi.
Fadillah berkata, usaha memperluas program berkenaan penting bagi memastikan pembangunan insan berteraskan ilmu Islam terus diperkukuh secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan ilmu dan syiar Islam di Sarawak.
Fadillah berharap program berkenaan dapat terus menyumbang kepada pembinaan masyarakat berakhlak mulia, selain memperkukuh perpaduan rakyat Sarawak dan Malaysia.






