KOTA SAMARAHAN: Program Impact Digital with Community Tourism (IDCT) 2.0 berpotensi diperluaskan ke peringkat antarabangsa dengan melibatkan Kalimantan dan Brunei pada penganjuran akan datang.
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Fazidah Mustafa berkata, usaha itu akan diteliti menerusi pencarian dana bagi membolehkan IDCT 3.0 diperluaskan ke luar negara.
“IDCT ini sentiasa menunjukkan peningkatan kerana pada IDCT 1.0, penglibatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya meliputi sekitar Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, manakala IDCT 2.0 kali ini sudah melibatkan IPTA di Semenanjung.
“Insya-Allah, untuk IDCT 3.0, kita akan cuba mencari dana bagi memperluaskannya ke peringkat antarabangsa, termasuk ke Kalimantan atau Brunei,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program IDCT 2.0 di Pusat Beli-Belah Summer Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, perluasan program itu adalah selari dengan Pelan Strategik UNIMAS 2026-2030 menerusi strategi berlian yang menggariskan empat tonggak utama, termasuk Menginspirasikan Insan.
“Tonggak ini memberi tumpuan kepada usaha menginspirasikan pelajar, penyelidik, pensyarah dan komuniti setempat untuk bekerjasama meningkatkan produktiviti kawasan masing-masing.
“Keterlihatan dan keterlibatan universiti dengan komuniti amat penting kerana UNIMAS sudah lama mengamalkan pendekatan Community-Driven University for a Sustainable Future.
“With adanya inspirasi insan ke arah yang baik, ia akan memberi impak signifikan kepada masyarakat setempat, termasuk di luar bandar,” jelasnya.

Menurut beliau, IDCT 2.0 kali ini menjadi platform kepada 23 universiti untuk menjalin kerjasama antara mahasiswa, komuniti dan mentor dalam membantu meningkatkan produktiviti serta pemasaran produk komuniti.
“Usaha ini meningkatkan pendapatan komuniti serta memperkukuh sosioekonomi kawasan yang dipilih oleh universiti terlibat,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa IDCT 2.0 amat bermakna kepada UNIMAS kerana menekankan pemindahan ilmu dan pemerkasaan masyarakat.
“Sebagai institusi pendidikan tinggi, peranan universiti tidak terhad kepada penyampaian ilmu semata-mata, tetapi turut bertanggungjawab membangunkan masyarakat melalui pemindahan ilmu, inovasi, penyelidikan dan keusahawanan.
“Pendekatan ini membolehkan ilmu diterjemahkan kepada tindakan yang meningkatkan kesejahteraan masyarakat, memperkukuh ekonomi setempat serta menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan dan inklusif,” tegasnya.

Ujarnya, antara kekuatan utama IDCT 2.0 ialah pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang memberi peluang kepada mahasiswa memahami cabaran sebenar komuniti.
“Pendekatan ini turut membantu mahasiswa membangunkan inovasi dan model keusahawanan yang mencipta nilai ekonomi serta sosial, selari dengan aspirasi UNIMAS 2026-2030 untuk melahirkan NextGen Changemakers,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa program itu bermula pada 2023 dengan penglibatan 16 komuniti di Sabah dan Sarawak sebelum berkembang sebagai platform nasional yang menghimpunkan 23 institusi pendidikan tinggi awam, 23 komuniti, 23 mentor dan 115 mahasiswa pada tahun ini.
“Kami berbangga kerana idea yang bermula daripada komuniti setempat kini berkembang sebagai modul dan model pembangunan yang memberi manfaat kepada seluruh negara,” katanya.



