BINTULU: Sebanyak 40 sesi Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) akan dilaksanakan di seluruh Sarawak tahun ini bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Timbalan Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Malaysia (FAMA) Negeri Sarawak, Adeyong Tomick berkata program tersebut akan diadakan di pelbagai lokasi merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, pihaknya tidak berdepan sebarang kekangan untuk menganjurkan program berkenaan di mana-mana kawasan kerana objektif utama pelaksanaannya adalah membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“Pada tahun ini kita akan mengadakan sebanyak 40 sesi JASS merangkumi seluruh Sarawak. Program ini tidak mempunyai rintangan untuk diadakan sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar.
“Di kawasan luar bandar pun kita akan ambil kira untuk melaksanakan program JASS supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program JASS peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju di pekarangan Dewan Serbaguna Kampung Penan Muslim, Batu 10 Jalan Bintulu–Miri pada Ahad.
Simbolik perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Datuk Majang Renggi.
Beliau berkata pelaksanaan program tersebut merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan bagi memastikan bekalan barangan makanan asas dapat diperoleh pada harga lebih berpatutan, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.






