MUKAH: Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan penghayatan golongan muda dengan kemerdekaan dan perpaduan negara.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Mukah dengan kerjasama Sarawak Skills Mukah itu disertai kira-kira 200 belia dan beliawanis secara fizikal dan dalam talian.
Pemangku Pengurus Sarawak Skills Mukah, Emayuhaida Driss berkata, program seumpama ini penting dalam membentuk jati diri generasi muda sebagai aset kepada negara.

“Pendedahan sejarah dan perjuangan kemerdekaan dapat membantu golongan belia memahami kepentingan menghargai keamanan, kestabilan serta kemakmuran yang dinikmati ketika ini.
“Golongan muda merupakan aset penting negara dan mereka perlu sentiasa didedahkan dengan nilai patriotisme supaya terus menghargai keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, pelibatan aktif belia dalam program kenegaraan dapat membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap isu semasa.
Jelasnya, penyertaan berkenaan turut dapat memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda untuk terus memelihara perpaduan negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara yang menyatukan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.
Dalam pada itu, Emayuhaida merakamkan penghargaan kepada JAPEN, khususnya JAPEN Daerah Mukah, atas komitmen melaksanakan pelbagai program kesedaran dan advokasi untuk masyarakat.
Ujarnya, peranan JAPEN sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat penting bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat, selain memahami dasar dan aspirasi kerajaan.
Program JIWA @ Komuniti HKHM 2026 turut menampilkan pengisian berbentuk penerangan, perkongsian maklumat dan aktiviti interaktif berkaitan sejarah kemerdekaan serta kepentingan memelihara perpaduan.





