BINTULU: Kerajaan Sarawak terus komited membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menerusi pelaksanaan Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata melalui inisiatif tersebut, kerajaan negeri menyediakan subsidi bagi beberapa barangan asas dengan kadar pengurangan harga antara 10 hingga 30 peratus.
Menurut beliau, langkah itu secara tidak langsung membantu isi rumah menjimatkan perbelanjaan harian, khususnya menjelang musim perayaan.
“Melalui subsidi yang disediakan, masyarakat dapat memperoleh barangan asas pada harga yang lebih rendah daripada pasaran, sekali gus membantu mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program JASS peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju di pekarangan Dewan Serbaguna Kampung Penan Muslim, Batu 10 Jalan Bintulu–Miri pada Ahad.

Majang berkata pelaksanaan program tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diamanahkan untuk menyelaras serta memastikan bekalan barangan keperluan asas dapat disalurkan kepada masyarakat.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan juga amat bertepatan memandangkan umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Program ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan barangan keperluan bagi membuat persiapan menyambut perayaan pada harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Beliau menambah pelaksanaan JASS membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa mengira lokasi sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar mahupun luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau berharap program berkenaan dapat terus diperluaskan ke lebih banyak kawasan termasuk pedalaman bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat daripada inisiatif tersebut.








