KUCHING: Seramai 2,940 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah rendah di Sarawak menerima sumbangan daripada Yayasan Petronas menerusi program Memperkasa Pengetahuan: Kembali Ke Sekolah (BTS 2023).
Pek BTS 2023 akan diagihkan kepada pelajar terpilih dari 240 buah sekolah di sekitar Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Padawan, Serian, Simunjan, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Saratok, Sarikei, Maradong, Julau, Kanowit, Sibu, Song, Kapit, Daro, Dalat, Miri, Tatau, Sebauh, Belaga, Baram, Miri, Lawas dan Limbang melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Setiap pelajar juga bakal menerima baucar yang boleh ditebus untuk satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut hitam, stokin dan pakaian sukan.
Di samping, kit bilik darjah yang terdiri daripada beg sekolah, pensel warna dan set alat tulis akan diedarkan kepada pelajar sekolah rendah, manakala pelajar sekolah menengah akan menerima kit bilik darjah yang sama serta kalkulator saintifik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Shariah Nelly Francis, Yayasan Petronas komited memastikan kejayaan akademik dalam kalangan pelajar.
“Hal ini kerana, penting bagi para pelajar dilengkapi dengan keperluan bilik darjah untuk bukan sahaja membantu mereka tinggal di sekolah, tetapi juga untuk berkembang maju di bilik darjah masing-masing,” jelasnya.
Sementara, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Dr Annuar Rapa’ee juga hadir menyaksikan pelancaran program tersebut.
Tahun ini, Yayasan Petronas telah menyumbang bekalan sekolah penting kepada 21,000 pelajar sekolah rendah dan menengah rendah di seluruh Malaysia, sejajar dengan permulaan tahun akademik 2023.






