KUCHING: Masyarakat sekitar bandar raya ini terus teruja menyertai program Kuching Car Free Morning yang dilihat dapat menggalakkan gaya hidup sihat, sekali gus menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Suara Sarawak sempat menemubual beberapa pengunjung dan rata-rata mereka berpendapat program berkenaan juga sesuai dijalankan bersama keluarga dalam suasana santai dan berkualiti.
Bagi Khoiriyah Cholil Purnomo, 43, program berkenaan yang telah lama dilaksanakan itu kekal mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat meskipun direhatkan seketika sepanjang bulan Ramadan.

“Memang program ini sangat sesuai dilaksanakan bersama keluarga atau rakan sekerja kerana ia bukan sahaja menggalakkan aktiviti sihat tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kembalinya program ini selepas sebulan berehat sepanjang Ramadan dan musim perayaan amat sesuai kerana ia menjadi medium terbaik untuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya ketika ditemui di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Tambahnya, semasa Hari Raya, masyarakat banyak melakukan aktiviti ziarah serta menghadiri rumah terbuka, sekali gus kurang mengamalkan diet seimbang dan melakukan aktiviti riadah.

“Jadi, aktiviti ini sangat membantu kita kembali menjalani gaya hidup sihat, dengan menyasarkan 10,000 langkah sehari atau boleh bermula dengan 2,000 hingga 5,000 langkah terlebih dahulu,” ujarnya.
Khoiriyah juga melihat program seumpama itu boleh diperluaskan ke kawasan lain, termasuk di peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), supaya lebih ramai komuniti dapat merasai manfaatnya secara berkala.
Sementara itu, Hairies Hazziana Mohamad Hamdan, 18, memaklumkan bahawa beliau menjadikan aktiviti berjoging sebagai rutin hujung minggu, sekali gus melihat program tersebut sebagai platform terbaik untuk mengekalkan disiplin gaya hidup sihat.
“Saya biasanya berjoging dua kali seminggu, iaitu pada Sabtu dan Ahad.
Justeru, program ini baik kerana semua warga Kuching dapat kekal aktif tanpa kenderaan di jalan raya pada hujung minggu.
“Remaja seperti kami juga boleh memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah, terutamanya selepas musim perayaan untuk kembali kepada rutin kecergasan serta menguruskan berat badan,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Hairies memaklumkan bahawa beliau sering menjalankan aktiviti sihat bersama ahli keluarga, termasuk menyertai program tersebut kerana dilihat dapat membantu mengeratkan hubungan sambil meluangkan masa bersama.
Manakala, Aisyah Damia Azizan, 18, menyifatkan penutupan sebahagian jalan daripada kenderaan memberikan pengalaman berbeza kepada orang ramai untuk menikmati suasana di bandar raya.
“Kuching sememangnya sibuk dengan kenderaan pada hari biasa, jadi apabila jalan ditutup, orang ramai boleh berjalan santai bersama keluarga dan rakan sambil menikmati pemandangan bandar tanpa gangguan trafik.
“Kita juga boleh memberi tumpuan kepada suasana, bangunan dan persekitaran dengan lebih tenang, sekali gus dapat melepaskan tekanan,” tegasnya.
Menurutnya lagi, ketiadaan program tersebut sepanjang Ramadan sebelum ini menyebabkan suasana hujung minggu terasa lebih sunyi kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin masyarakat.
“Apabila program ini disambung semula, suasana menjadi lebih meriah dan orang ramai kembali aktif,” ujarnya.





