KUCHING: Program Latihan Motion Graphic Unreal Engine 2025 kembali dianjurkan bermula pada 11 hingga 15 Ogos depan, sebagai usaha untuk melatih bakat kreatif tempatan dalam penciptaan kandungan grafik gerak masa nyata.
Program yang dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) ini akan berlangsung di Perkampungan Digital TEGAS (TDV) ekoran kejayaan sesi pertamanya tahun lalu.
Ia juga dianjurkan dengan kerjasama EFXCO Academy – sebuah Pusat Latihan Sah Unreal dan Borneo Digital bertujuan memperkasa bakat kreatif Sarawak dengan kemahiran lanjutan dalam animasi 2D dan 3D, reka bentuk gerak, animasi kamera serta penjanaan masa nyata menggunakan platform Unreal Engine yang terkenal di seluruh dunia.
Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata tahun ini program tersebut berasaskan pengetahuan asas yang diperkenalkan dalam sesi perintis 2024 dan menyasarkan artis digital, pembikin filem, animasi serta pereka grafik yang sedang aktif berkarya untuk mempertingkat kemahiran mereka dalam kandungan gerakan visual.
Katanya, para peserta akan menerima latihan secara praktikal bersama-sama tenaga pengajar bertauliah dari industri termasuk mereka yang pernah terlibat dalam produksi filem bertaraf Oscar seperti Life of Pi dan X-Men: First Class.
“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk memacu inovasi dalam industri kreatif Sarawak dengan memupuk kemahiran digital selari piawaian global.
“Kita juga sedang menyediakan bakat tempatan untuk menjana peluang pendapatan tinggi dalam bidang filem, pengiklanan, permainan video dan media imersif,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, latihan seumpama ini juga
selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan inovasi digital.
“Melalui inisiatif ini, TDV terus memposisikan dirinya sebagai hab serantau untuk latihan teknologi kreatif, sekali gus menawarkan laluan akses ke dalam industri kandungan digital yang pesat berkembang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EFXCO Academy, Hussin Khan turut menyatakan keterujaannya dengan kerjasama berterusan TEGAS, sambil menekankan impak program yang semakin berkembang.
Menurutnya, bidang grafik gerak kini berkembang pesat khususnya dalam sektor pengiklanan, media penyiaran, realiti tambahan, maya dan penceritaan imersif.
“Dengan keupayaan masa nyata yang ditawarkan oleh Unreal Engine, para pencipta kini dapat memperkemas aliran kerja mereka dan menghasilkan kandungan visual berkualiti tinggi dengan lebih efisien berbanding sebelum ini.
“Minat dalam kalangan kreatif tempatan di Sarawak dalam bidang animasi, kerja kamera dan penciptaan kandungan masa nyata semakin meningkat. Justeru, program latihan ini secara langsung memenuhi permintaan dengan menyediakan latihan praktikal bersasar yang bukan sahaja membina kepakaran teknikal malah turut memperkukuh kumpulan bakat kreatif digital di rantau ini,” jelasnya.
Program Latihan Motion Graphic Unreal Engine 2025 ini akan ditawarkan kepada kumpulan peserta terpilih dalam jumlah terhad, dengan keutamaan diberikan kepada individu daripada komuniti kurang diwakili atau yang menghadapi kekangan kewangan.
Peserta yang berjaya menamatkan latihan ini akan menerima sijil penyertaan yang diiktiraf secara rasmi oleh komuniti Unreal Engine.
Untuk maklumat lanjut, perkembangan terkini dan pendaftaran, sila layari pautan bit.ly/UnrealEngineKch.





