BINTANGOR: Program MyLesen B2 wajar diperluaskan ke institusi pendidikan untuk membantu golongan muda, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan, dalam mendapatkan lesen motosikal dengan lebih mudah dan berpatutan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, menyatakan bahawa langkah ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga mereka, tetapi juga mampu melahirkan generasi muda yang lebih berdisiplin serta berhemah di jalan raya.
“Program seperti MyLesen B2 amat relevan dalam usaha mendidik golongan muda tentang keselamatan jalan raya sejak peringkat awal. Dengan pendedahan awal dan bimbingan yang betul, mereka akan menjadi penunggang yang bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau mencadangkan agar program ini dilaksanakan secara berkala di sekolah menengah, kolej vokasional, dan institusi pengajian tinggi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi berkaitan.
“Ramai pelajar menggunakan motosikal untuk ke sekolah atau tempat latihan industri, jadi memiliki lesen yang sah adalah penting demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain,” tambahnya.
Kuong Hiing berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini sebagai salah satu inisiatif untuk memperkasakan pembangunan belia di negara ini.
Program MyLesen B2 merupakan inisiatif kerajaan melalui JPJ yang menawarkan subsidi dan latihan kepada individu berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2 dengan kos yang lebih rendah.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahagian Sarikei yang diketuai oleh Ellen Arbi. Pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan itu, termasuk pelaksanaan Program Lesen Memandu B2 yang bakal dilaksanakan di daerah Meradong tahun ini.



