ARTIKEL

Program Santuni MADANI buka peluang ekonomi baharu penduduk Julau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Masyarakat luar bandar di kawasan Julau digesa merebut peluang menghadiri Program Santuni MADANI pada 26 November ini bagi mendapatkan pendedahan, pengetahuan dan kemahiran baharu yang berpotensi membuka ruang kepada aktiviti ekonomi serta menjana pendapatan tambahan.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, program yang berlangsung di Dewan Komuniti Julau itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan untuk menyediakan maklumat, kursus dan pameran berkaitan bidang masing-masing kepada masyarakat.

Menurutnya, antara agensi yang terlibat ialah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Lada Malaysia (MPB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta agensi berkaitan lain.

Beliau berkata, penyertaan agensi berkenaan memberi peluang kepada penduduk luar bandar untuk mendapatkan maklumat secara langsung, mempelajari kemahiran baharu dan mengenal pasti peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan bagi menambah pendapatan.

“Program seperti ini sangat bermanfaat kepada masyarakat luar bandar kerana ia memberi mereka peluang untuk mendapatkan maklumat, mempelajari kemahiran baharu dan mencari peluang yang boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Jalan Merurun di Rumah Ngabong, Merurun, di sini, kelmarin.

Larry berkata, masyarakat Julau khususnya yang terlibat dalam sektor pertanian dan industri perkayuan perlu didedahkan kepada potensi ekonomi yang boleh diterokai menerusi sumber serta kemahiran sedia ada.

Sebagai contoh, katanya, kayu gaharu berpotensi diproses menjadi minyak wangi, manakala penggunaan bahan epoksi pula boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk kreatif seperti jam dan meja.

Menurutnya, pelbagai kemahiran sedemikian berpotensi membuka ruang kepada komuniti untuk meneroka aktiviti ekonomi baharu selain menjana sumber pendapatan tambahan.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk daripada seluruh kawasan Julau dapat hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi program berkenaan.

Program Santuni MADANI dijadualkan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang, Khamis, 26 November 2026, di Dewan Komuniti Julau.

Dalam perkembangan berkaitan, Larry turut memaklumkan bahawa geran projek berjumlah RM71,600 diagihkan kepada beberapa rumah panjang, biro wanita dan projek utiliti komuniti pada majlis perasmian Projek Jalan Merurun di Rumah Ngabong, Merurun.

Penerima geran berkenaan ialah Rumah Ngabong, Merurun; Rumah Umpur, Nanga Lamba; Rumah Guma, Merurun; Rumah Richard, Bukit Kunyit; Rumah Seman, Bukit Kelatai; Biro Suri Rumah Ngabong; Biro Rumah Richard, Merurun; serta projek Jalan Tanah Perkuburan Sekura (Rumah Richard, Bukit Kunyit).

Peruntukan itu diharapkan dapat membantu pelaksanaan projek yang dikenal pasti, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk dan komuniti di kawasan terlibat.

BERITA LAIN

Intai wajah baharu

PERANCANGAN Kuching City FC untuk membentuk sebuah pasukan lebih kompetitif bagi mengharungi baki saingan musim 2026/2027 kini memasuki fasa penting apabila jendela perpindahan pemain semakin

Berundurnya Gibran

PELETAKAN jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden – pengunduran pemimpin muda yang membuka persoalan lebih besar berkaitan kuasa, legasi Jokowi, kedudukan Prabowo dan masa

BERITA TERBARU