KUCHING: Program Sarawakku Sayang di Bahagian Betong yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 September ini ditangguhkan susulan situasi jerebu yang melanda negeri ini.
Menurut notis yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), penangguhan itu susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk menangguhkan program dan aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai.
Setakat ini, tiada pengumuman tarikh baharu bagi menggantikan program berkenaan.
Penangguhan ini merupakan kali kedua program Sarawakku Sayang ditangguhkan susulan situasi jerebu, selepas edisi Mukah yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos lalu di Dataran Pehin Setia Raja.
Penangguhan program di Mukah diumumkan JPBNS pada 22 Ogos lalu sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan di negeri ini.



