MUKAH: Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai persediaan melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing dan berinovasi tinggi.
Usaha tersebut dibuktikan menerusi penganjuran Program STEM Catalysts yang melibatkan penyertaan 10 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Daerah Mukah.
ADUN Tellian Royston Valentine berkata, program berkenaan dilihat sebagai platform penting untuk memperkasa pendidikan STEM dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, program ini memberi pendedahan secara praktikal kepada pelajar tentang aplikasi ilmu tersebut dalam kehidupan seharian.
“STEM bukan sekadar bidang pembelajaran di dalam bilik darjah, sebaliknya merupakan asas penting dalam membentuk masa depan Sarawak yang lebih maju berteraskan teknologi dan inovasi.

“Program ini adalah untuk mendidik serta memberi inspirasi kepada generasi muda dengan menunjukkan STEM diaplikasikan dalam dunia sebenar, bukan hanya dalam buku teks tetapi dalam kehidupan harian kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program STEM Catalysts di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, semalam.
Sehubungan itu, katanya, Mukah dipilih sebagai lokasi pertama bagi pelaksanaan Program STEM Catalysts di Sarawak.
Ujarnya, ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas pendidikan STEM ke seluruh pelosok negeri.
“Inisiatif ini penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah mampu menjadi pemacu kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Anak-anak Sarawak hari ini bukan sekadar pelajar, tetapi bakal saintis, jurutera dan pemimpin yang akan menerajui negeri ini kelak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa berani bermimpi besar, bermula dengan langkah kecil serta tidak pernah berhenti menimba ilmu.





