SEBUYAU: Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Catalysts 2026 memainkan peranan penting sebagai platform pendidikan transformatif dalam usaha memperkasa generasi inovator masa hadapan khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Julaihi Narawi berkata terdapat keperluan membina asas kukuh sejak peringkat sekolah rendah bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat pada masa hadapan.
“Justeru, saya percaya program ini amat sesuai khususnya untuk pelajar luar bandar.

“Dengan memupuk minat awal dalam bidang STEM, ia dapat menjadi pemangkin untuk mereka mendalami bidang ini ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menambah beliau turut mencabar penganjur untuk memperluas pelaksanaan inisiatif tersebut agar dapat melibatkan lebih ramai pelajar di seluruh daerah.
“Pada masa yang sama, saya ingin merakamkan penghargaan kepada penganjur. Untuk makluman, Sebuyau mempunyai 19 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.
“Saya percaya program ini akan menjadi lebih berimpak sekiranya pelajar dari semua sekolah ini dapat dihimpunkan. Inisiatif sebegini pasti menjadikan program ini lebih menarik dan bermakna,” ujarnya.
Terdahulu, program STEM Catalysts 2026 telah bermula di SJK Chung Hua Sebuyau, sekali gus berperanan sebagai sekolah tuan rumah bagi inisiatif pendidikan transformatif yang bertujuan memperkasa generasi inovator masa hadapan.
Program yang menyaksikan kehadiran Julaihi itu turut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan, Loh Boon Piaw serta Ismail Suhai.
Diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dengan kerjasama Sarawak Skills, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan rakan institusi lain, program ini melibatkan penyertaan 13 sekolah dengan kehadiran lebih 260 pelajar.
Selain itu, inisiatif berkenaan dirangka bagi merapatkan jurang akses kepada STEM khususnya bagi pelajar di kawasan luar bandar melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal serta demonstrasi interaktif.
STEM Catalysts 2026 terus berperanan sebagai platform penting bagi pelajar luar bandar untuk meneroka teknologi moden serta membangunkan kemahiran penyelesaian masalah yang penting dalam ekonomi digital masa kini.
Program ini turut dilaksanakan di Kota Samarahan, Simunjan dan Betong, sekali gus menandakan fasa akhir jelajahnya di wilayah selatan Sarawak.


