SONG: Projek membaik pulih Stadium Song di sini memasuki fasa baharu dengan pelaksanaan majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, semalam.
Dalam ucapannya, Lidam menegaskan bahawa proses baik pulih stadium ini berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 November 2025.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam projek ini agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Projek ini dilaksanakan mengikut kriteria dan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Fasa pertama kerja baik pulih ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan semula trek larian, padang serta ‘grandstand’ stadium,” katanya.
Rentetan itu, Lidam berharap masyarakat setempat dapat bersabar kerana kerja-kerja ini bertujuan memberikan kemudahan yang lebih selesa dan bertaraf tinggi pada masa hadapan.
Projek baik pulih Stadium Song ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur sukan di kawasan luar bandar, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat muda dalam bidang sukan.
Dengan selesainya projek ini kelak, ia dijangka mampu menjadi mercu tanda baharu dalam pembangunan sukan di Song amnya.


