SERIAN: Hampir 10,000 penduduk di 26 kampung di Bahagian Serian dijangka menikmati bekalan air yang lebih stabil apabila Projek Bekalan Air Serian Fasa Dua siap sepenuhnya menjelang April tahun depan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, projek ini merupakan sebahagian daripada usaha besar kerajaan Sarawak membentuk sistem grid air di wilayah selatan bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan lebih cekap dan menyeluruh.
Menurutnya, sistem grid tersebut akan menghubungkan beberapa bahagian termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong.
“Apabila sistem ini siap nanti, bekalan air tidak lagi bergantung kepada satu sumber sahaja, tetapi boleh disambungkan antara kawasan untuk memastikan bekalan lebih stabil,” katanya semasa lawatan kerja rasmi ke tapak Projek Bekalan Air Serian Fasa Dua, Tangki Aras Tinggi Melikin di sini hari ini.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan tangki aras tinggi berkapasiti tiga juta liter selain pemasangan paip penghantaran sepanjang 33 kilometer dan paip agihan sejauh 45 kilometer.
Katanya, projek bernilai RM115.6 juta itu turut dilengkapi stesen penggalak dan infrastruktur sokongan bagi menyalurkan bekalan ke kawasan sasaran.
Julaihi berkata, pelaksanaan projek air memerlukan keseluruhan sistem siap sebelum manfaat dapat dirasai pengguna.
“Projek air ini berbeza dengan jalan raya. Kita bukan boleh siap separuh terus guna. Kita perlu siapkan loji, paip penghantaran, paip agihan, stesen penggalak dan tangki terlebih dahulu sebelum air dapat disalurkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak ketika ini giat memperluas liputan bekalan air luar bandar yang kini menghampiri 72 peratus, berbanding kawasan bandar yang melepasi 90 peratus.



