DRAMA siri premium Astro Originals Projek: High Council karya Anwari Ashraf membawa kisah yang diinspirasikan daripada kisah benar.
Ia dikatakan pernah terjadi di Malaysia apabila negara digemparkan dengan isu kumpulan gengster sebuah sekolah berasrama penuh.
Drama ini menjadi buah mulut apabila menampilkan adegan yang membuatkan ramai mengimbau kembali zaman sekolah menengah suatu ketika dahulu.
Projek: High Council banyak mengetengahkan isu sosial yang berlaku dalam masyarakat seperti kes buli dan rasisme.
Dibintangi pelakon baharu berbakat daripada pelbagai latar seperti Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Naim Daniel, Yusof Hashim, Daiyan Trisha, Sazzy Falak, Ben Tan, Sathisvaran M Magesvaran, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Ameer Asyraf, Muzayyin Mahyuddin, Hazeeq Dean, Aida Aris, Azhar Sulaiman dan Edika Yusof.
Mengisahkan tentang adikberadik, Fakri dan Naim yang terpisah sejak mereka masih kanak-kanak dan bertemu semula di Kolej Ungku Dramat (Kudrat), sebuah sekolah asrama berprestij tinggi.
Mereka berdua memasuki gelanggang “pilihan raya” — sebuah pertandingan tradisi secara sulit dan diseliakan oleh High Council.
Pemenang Pilihan raya dianggap sebagai pelajar paling berkuasa di Kudrat.
Fakhri pelajar yang bijak tetapi sering terlibat dalam pergaduhan diterima masuk ke sekolah asrama tersebut.
Namun, apabila Fakhri merungkai rahsia di sebalik tradisi sekolah tersebut, secara tidak langsung menjadikan dia sasaran utama pelajar yang ingin memanjat hierarki High Council.
Nekad menghentikan segala ketidakadilan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kalangan pelajar, Fakhri memasuki gelanggang pertandingan yang dilangsungkan secara sulit untuk menentukan “kepala” di sekolah tersebut.
Bagi yang belum menonton drama ini, tentu tertanya-tanya berjayakah Fahkri merebut takhta sebagai ketua?
Sebanyak 10 Siri Projek: High Council sudah ditayangkan di Astro bermula Januari lepas, tetapi masih ramai yang berminat menonton jejak siri drama ini di media sosial.






