KUCHING: Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) menyantuni seramai 38 penerima menerusi Projek Infaq Beras Ramadan yang berlangsung di Bilik Mawar, Kompleks Asrama Yayasan Sarawak, baru-baru ini.
Inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik termasuk ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas yang hidup sebatang kara untuk menyambut Ramadan dengan lebih bermakna melalui sumbangan beras yang diinfaqkan serta diuruskan oleh YAKIN.
Menurut Pegawai Projek Unit Sosioekonomi dan Aset YAKIN, Maliah Adenan, program berkenaan merupakan antara Program Komuniti yang giat dilaksanakan sepanjang Ramadan tahun ini.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan YAKIN untuk memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Kami berharap sumbangan beras ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka serta menceriakan sambutan Ramadan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini YAKIN telah menghantar 20 kampit beras seberat lima kilogram ke kediaman penerima sekitar kawasan Petra Jaya dan Jalan Santubong.
“Sebagai rekod, YAKIN akan terus mengagihkan 20 kampit beras lima kilogram kepada penerima lain dan sebahagian penerima merupakan pelajar Asrama YAKIN sempena Program Berbuka Puasa bersama Pelajar Asrama YAKIN yang akan diadakan nanti,” tambahnya.
Dalam pada itu, YAKIN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang komited membasmi kemiskinan amat mengalu-alukan sokongan pelbagai pihak termasuk sektor swasta, NGO mahupun individu perseorangan untuk tampil menghulurkan sumbangan beras sebagai salah satu usaha menyokong tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada semua pihak bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu pada masa akan datang,” ujarnya.
Projek Infaq Beras Ramadan tersebut telah disempurnakan dan disampaikan oleh Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo selaku Pengerusi Lembaga Amanah YAKIN, dengan kehadiran Datu Dr Hatta Solhi serta Datu Sarudu Hoklai yang turut memeriahkan majlis.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi urus setia Parseh Kahar di talian 011-21865622 atau Nadzrizan Wahab di talian 011-11525302, atau melalui e-mel rasmi pentadbiranyakin@gmail.com.






