KAPIT: Seramai 1,633 penduduk daripada 16 rumah panjang menerima manfaat langsung hasil siapnya Projek Jalan Baharu Nanga Belawai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Terusa dan Rumah Panjang Jabang di Ulu Belawai.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek bernilai RM57.5 juta itu merupakan antara projek pembangunan strategik di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang bertujuan memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan pedalaman.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan jalan utama sepanjang lapan kilometer, lapan jalan akses ke rumah panjang serta tiga jambatan baharu merentasi Sungai Belawai.

“Ia memberi manfaat secara langsung kepada 16 rumah panjang serta 1,633 penduduk, selain memudahkan akses ke SK Nanga Terusa yang mempunyai 55 murid.
“Justeru, projek ini menjadi bukti komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan turut sampai ke kawasan pedalaman,” katanya ketika merasmikan jalan berkenaan di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, projek berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih selamat dan selesa, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi penduduk setempat.
Katanya, jaringan perhubungan yang lebih baik turut meningkatkan mobiliti rakyat serta membuka peluang ekonomi baharu di Ulu Belawai dan kawasan sekitarnya.
“Sebagai Pengerusi URDA, saya merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas visi dan kepimpinan beliau dalam memacu pembangunan luar bandar menerusi penubuhan agensi pembangunan wilayah termasuk URDA.
“Sejak penubuhan URDA, RM1.5 bilion telah diperuntukkan bagi melaksanakan 41 projek pembangunan, dengan 23 projek telah siap, 14 projek sedang dilaksanakan dan empat projek masih berada pada peringkat tender,” ujarnya.
Menurut Alexander, pembangunan infrastruktur di bawah URDA akan terus diperkasakan melalui cadangan pembinaan Jambatan Nanga Belawai dan jalan penghubung ke Jalan Song-Kapit yang kini berada pada peringkat tender.
“Projek ini merangkumi pembinaan jalan sepanjang 2.7 kilometer dan sebuah jambatan sepanjang 470 meter merentasi Batang Rajang.
“Apabila siap kelak, ia akan melengkapkan rangkaian perhubungan darat yang lebih menyeluruh serta mengurangkan kebergantungan penduduk kepada laluan sungai dan jalan balak,” tambahnya.
Beliau menegaskan, pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman membuka akses yang lebih luas kepada rakyat dalam bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
“Setiap kilometer jalan yang dibina di pedalaman Sarawak membawa makna besar kepada rakyat kerana ia membuka akses, peluang dan masa depan yang lebih baik,” tegasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Alexander turut menyampaikan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada penerima serta pertubuhan di Kapit berjumlah RM476,000 keseluruhannya.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM290,000 disalurkan kepada 29 ketua isi rumah (KIR) dari Rumah Liun, Nanga Pangai dan Ibau, Kapit yang terjejas akibat bencana kebakaran, dengan setiap penerima menerima RM10,000.
Sebanyak RM186,000 lagi disumbangkan kepada pelbagai pertubuhan, jawatankuasa dan organisasi di Kapit bagi menyokong pelaksanaan program komuniti, pendidikan, sukan, kesihatan, pembangunan wanita serta aktiviti kemasyarakatan.
Antara inisiatif yang menerima sokongan termasuk penganjuran Baleh Raft Safari, penyertaan pelajar dalam kejohanan sukan peringkat negeri, program pertanian dan agropelancongan, aktiviti persatuan, program kesihatan serta pelbagai inisiatif pembangunan komuniti setempat.





