Projek Jalan raya Sarawak-Kalimantan bermula tahun depan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina rangkaian jalan raya di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan yang dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, jalan raya terbabit dianggarkan 1,032 kilometer dan jalan sepanjang 610 kilometer berkemungkinan menelan belanja RM24 bilion apabila dilaksanakan bermula 2020 hingga 2030.

“Rangkaian jalan ini bermula dari Biawak ke Serikin dan Engkilili melalui Lubok Antu, Long Silat, Long Banga, Bario, Ba’Kelalan, Long Semado, Long Sukang serta berakhir di pekan Lawas. “Ini berikutan pengumuman Indonesia yang memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur menjelang tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui siaran media selepas mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah JKR (Cawangan Perancangan Korporat), Norman Jan dalam Program Rangkaian Jalan raya Keselamatan Sempadan di sini semalam.

James Masing juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan menambah, rangkaian jalan raya ini juga akan membantu kecekapan keselamatan untuk melindungi aset Sarawak bernilai bilion ringgit.

“Kita mempunyai saluran paip gas bersama-sama Sabah dan empat empangan hidro elektrik berhampiran sempadan antarabangsa.

“Maka, kajian mendalam diberi keutamaan kepada empat sektor iaitu Baleh dan jalan penumpu, Engkili / Lubuk Anti dan Batang Ai, menaik taraf jalan raya Tebedu ke R5 serta Baram dan jalan penumpu Tinjar,” jelasnya.

Ekoran itu katanya, satu mini makmal dikendalikan pada 23 Oktober lalu terdiri pelbagai agensi bagi membincangkan perkara tersebut.

“Hasilnya, projek ini akan dimasukkan dalam Pelan Transformasi Sosio-Ekonomi Negeri (2016- 2030) dalam RMK12 yang merangkumi komuniti luar bandar, pelancongan serta persempadanan.

“Cadangan skop kerjanya menaik taraf 209 kilometer jalan raya sedia ada daripada R1 ke R3 termasuk pembinaan 619 kilometer jalan raya lagi,” ujarnya.

Suara Sarawak