KUCHING: Kelewatan meneruskan pelaksanaan projek Klinik Pergigian Daro yang terbengkalai sebelum ini memberi kesan besar kepada ribuan penduduk termasuk pelajar, warga emas dan komuniti luar bandar di daerah Daro dan Matu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata bangunan sementara berasaskan kabin yang digunakan sekarang tidak memenuhi standard perkhidmatan pergigian moden.
“Kalau dahulunya, saya dimaklumkan projek yang terbengkalai ini tidak dapat diteruskan sebab masih menunggu kelulusan NOC pertambahan kos.
“Saya mendapat maklumat bahawa kelulusan NOC pertambahan kos telahpun diluluskan pada 26 September 2024, namun sehingga hari ini projek ini masih belum diteruskan pelaksanaannya.
“Oleh itu, saya merayu kepada agensi berkenaan supaya mempercepatkan pelantikan kontraktor penyelamat agar kerja-kerja menyiapkan projek ini dapat segera dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Selain itu, beliau berkata projek pemindahan dan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Penasu, Daro, Mukah yang kini dikategorikan sebagai projek sakit turut membimbangkan.
Jelas Safiee, projek itu sepatutnya siap sepenuhnya pada 21 September tahun ini selepas diberikan lanjutan masa (EOT) sebanyak 14 kali bersamaan 380 hari keseluruhan.
“Ini sudah tentu membimbangkan rakyat, para guru, ibu bapa serta komuniti sekitar kerana SK Penasu merupakan pusat pendidikan penting untuk anak-anak dari kampung dan rumah panjang di kawasan ini.
“Saya memohon pihak kementerian berkenaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana memberikan pencerahan status projek ini serta memaklumkan langkah-langkah yang akan diambil bagi menyiapkan projek ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai isu di Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi Kampung Badong, Safiee berkata amat menyedihkan apabila penduduk yang telah berpindah ke 10 rumah siap dibina lebih setahun lalu masih bergelap dan hanya bergantung kepada generator serta panel solar.
“Sebagai wakil rakyat saya telah mengadakan mesyuarat koordinasi bagi menyelesaikan isu berkaitan kemudahan utiliti ini termasuk menaik taraf jalan.
“Isu bekalan air dan penurapan jalan telahpun selesai. Kini hanya bekalan elektrik masih tertangguh meskipun peruntukan telah disalurkan oleh Jabatan Tanah dan Survei kepada Sarawak Energy sebaik projek SPK ini siap dahulu.
“Sehubungan itu, saya merayu kepada Sarawak Energy supaya melaksanakan penyambungan elektrik ke rumah di lot SPK ini secepat mungkin. Jangan biarkan mereka bergelap terlalu lama,” katanya.



