ARTIKEL

Premier dan tetamu kehormat yang lain ketika menyaksikan pelan projek NCH

Projek Lebuhraya Pesisir Utara Pacu Pembangunan Wilayah Utara Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LIMBANG: Projek Coastal Northern Highway (NCH) yang dilancarkan pada Sabtu (1 November) disifatkan sebagai pemangkin utama pembangunan di wilayah utara Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek bernilai RM6.8 bilion itu sepenuhnya dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, mencerminkan kekuatan ekonomi negeri hasil perpaduan rakyat serta tadbir urus yang stabil.

“Hari ini saya berasa bangga dapat kembali ke Limbang, tempat kelahiran saya, untuk melancarkan satu projek mega yang menjadi pencetus perubahan bagi membangunkan Sarawak, khususnya kawasan utara.

“Perhubungan jalan raya merupakan sektor terpenting dalam pembangunan ekonomi di samping bekalan air, elektrik dan telekomunikasi,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan projek NCH di Lapangan Rekreasi Limbang, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata jalan pesisir utara itu bukan sekadar membuka akses baharu ke kawasan luar bandar, tetapi juga melambangkan kemajuan negeri yang menekankan pembangunan lestari serta penggunaan teknologi moden.

“Kita membina jalan raya dengan pendekatan moden menggunakan teknologi Highway Information Modelling (HIM) untuk menyesuaikan binaan dengan bentuk muka bumi tanpa merosakkan alam semula jadi.

“Kalau dulu potong bukit, sekarang kita guna tiang dan viaduct. Ini bukan sahaja lebih stabil malah mengekalkan keindahan semula jadi Limbang dan Lawas,” jelasnya.

Beliau menegaskan, walaupun kos pembinaan tinggi, keputusan untuk meneruskan projek berkenaan membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan seimbang di seluruh Sarawak.

“Selagi kita bersatu, saya yakin kita mampu membiayai projek besar seperti ini tanpa bergantung kepada pusat.

“Kekuatan Sarawak datang daripada perpaduan rakyatnya — inilah asas kepada kemajuan yang kita kecapi hari ini,” katanya lagi.

Pada masa sama, Premier berkata, pelaksanaan NCH turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan darat antara Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah, sekali gus membuka peluang kerjasama ekonomi serantau yang lebih luas.

“Apabila siap kelak, NCH bukan sahaja menghubungkan Limbang dan Lawas ke seluruh Sarawak, tetapi juga menjadi nadi utama laluan darat yang menghubungkan kita dengan Brunei serta Sabah.

“Hubungan baik antara kerajaan Sarawak dan Brunei turut membolehkan kita menyelaras pembangunan bersama termasuk pembinaan kompleks ICQS baharu di Pendam bagi mempercepat urusan rentas sempadan,” ujarnya.

NCH dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2031, meliputi pembinaan jalan bertingkat, jambatan moden serta kemudahan sokongan strategik di sepanjang koridor Limbang–Lawas–Brunei.

Beliau percaya dengan siapnya projek berkenaan, utara Sarawak bakal muncul sebagai wilayah pertumbuhan baharu sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pintu ekonomi serantau di Borneo.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU