KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyiapkan 179 daripada 214 projek untuk meningkatkan liputan elektrik luar bandar di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bernilai RM2.49 bilion.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata baki 35 projek lagi masih dalam proses pelaksanaan di pelbagai peringkat.
“Daripada jumlah tersebut, 179 projek bersamaan 83.6 peratus telah siap sepenuhnya dan memberi faedah kepada 59,698 isi rumah manakala baki 35 projek bersamaan 16.4 peratus sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya sempena mesyuarat ketiga bagi penggal keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan terdapat beberapa kawasan di mana projek infrastruktur elektrik belum dapat dilaksanakan berikutan kekangan termasuk penyiapan jalan, penempatan baharu dan penyelesaian isu izin lalu sebelum pembinaan talian pengagihan dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Julaihi mendedahkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM46 juta untuk tahun 2026 bagi meneruskan pelaksanaan projek seperti Dana Permohonan Tambahan atau Lewat (ALAF), sambungan Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) ke grid, penggantian bateri dan naik taraf bekalan elektrik.
Tambahnya, Sarawak turut menyediakan sebanyak RM315 juta bagi melaksanakan projek ALAF dari fasa satu hingga empat yang melibatkan 21,073 isi rumah.
Dedahnya, sebanyak 20,065 isi rumah atau 95.2 peratus telah siap dilaksanakan manakala selebihnya sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Sementara bagi ALAF fasa lima, beliau mendedahkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM126 juta untuk membekalkan elektrik kepada anggaran 5,800 pemohon baharu di seluruh Sarawak.



