BINTULU: Pelaksanaan langkah mitigasi banjir di Bintulu perlu dipercepat bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang yang terus menjejaskan beberapa kawasan susulan hujan lebat sejak kebelakangan ini.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, usaha menangani masalah berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh menerusi kerjasama erat antara semua agensi berkaitan, termasuk memperkukuh sistem saliran serta mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur yang dirancang.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohamed Nizam Awang Ali Bohan serta wakil pelbagai agensi pada Rabu bagi membincangkan perkembangan semasa situasi banjir dan menyelaras tindakan susulan.

Menurutnya, pertemuan ini turut meneliti kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir selain menilai keberkesanan langkah mitigasi sedia ada, kemajuan projek pembinaan dan penaiktarafan sistem perparitan serta pelaksanaan kerja pengorekan dan pembersihan saliran.
Johnny Pang berkata agensi berkaitan perlu mempercepat kerja menaik taraf longkang di kawasan perumahan lama selain meningkatkan kekerapan penyelenggaraan dan pembersihan longkang di lokasi yang sering dilanda banjir.
Jelasnya, langkah tersebut penting bagi meningkatkan kapasiti sistem perparitan sekali gus membantu mengurangkan risiko limpahan air ketika hujan lebat.
Beliau turut menegaskan bahawa isu banjir memerlukan pendekatan bersepadu dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Justeru setiap agensi perlu menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang yang jelas serta memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.





