MUKAH: Projek bernilai RM300,000 bagi menaik taraf jalan masuk dan tempat parkir Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, kini siap dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan warga sekolah dan pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kemudahan infrastruktur yang lebih baik penting bagi memastikan pergerakan kenderaan keluar masuk kawasan sekolah berjalan lancar dan teratur.
Menurutnya, dengan adanya kemudahan tempat parkir yang lebih teratur, ia membantu mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu persekolahan serta program rasmi dan aktiviti yang membabitkan ibu bapa serta komuniti setempat.
“Saya berharap kemudahan jalan masuk dan tempat parkir ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak sekolah serta semua pihak yang menggunakannya.
“Pada masa sama, aspek penyelenggaraan dan penjagaan kemudahan ini perlu diberi perhatian supaya ia dapat terus digunakan dalam keadaan baik untuk tempoh yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi penyerahan siap projek berkenaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah kepada Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Royston turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi, pihak sekolah dan kontraktor penting bagi memastikan pelaksanaan projek prasarana pendidikan berjalan lancar serta memenuhi keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada JKR Bahagian Mukah, PPD Mukah, pihak pengurusan SMK Three Rivers, kontraktor ZR Construction serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Tambahnya, kemudahan yang dinaik taraf itu dijangka memberi manfaat kepada pelajar dan guru, selain memudahkan urusan ibu bapa, kakitangan sekolah serta pelawat yang menghadiri pelbagai program di sekolah berkenaan.



