Projek Pan Borneo tetap diteruskan

KUCHING: Projek mega Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang kira-kira 800 kilometer (km), bermula dari Telok Melano-Sematan sehingga ke  Lawas  tetap diteruskan walaupun berlaku peralihan kerajaan.

Ia selaras dengan prinsip kerajaan baharu yang mahu jaringan perhubungan infra di Bumi Kenyalang sama dengan di Semenanjung, seiring dengan aspirasi rakyat Sarawak.

Projek Pan Borneo Sarawak melibatkan 11 fasa, kini sedang giat dilaksanakan, kebanyakannya melibatkan proses menaik taraf Jalan Persekutuan daripada dua kepada empat lorong kecuali Jajaran Teluk Melano-Sematan, satu-satunya jajaran baharu dibina atas permintaan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Menteri Kerja Raya Baru Bian menyifatkan projek Pan Borneo sebagai satu projek kejuruteraan terhebat di Kepulauan Borneo, selain tidak akan mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo, di Sarawak atau Sabah.

Pada 4 Jan 2019,  Jajaran Telok Melano–Sematan sepanjang 33km bernilai RM580 juta yang mula dibina pada 15 Sept 2015, di hujung selatan Sarawak, siap sepenuhnya serta dibuka secara rasminya kepada pengguna.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika majlis perasmian jajaran itu  pada Januari 2019 berkata pembukaan jajaran Telok Melano secara tidak langsung telah membuka peluang ekonomi di kawasan berpotensi terutamanya dalam sektor ekopelancongan.

Mengucapkan terima kasih kepada kerajaaan Pakatan Harapan (PH) melalui Menteri Kerja Raya Baru Bian kerana meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, Abang Johari berkata: “Apabila ada perubahan kerajaan di kerajaan pusat, Baru Bian dilantik (sebagai menteri kerja raya)… tak ada hal parti, kita bersatu kerana Sarawak walaupun politik berlainan.”

Keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak yang dijadual siap sepenuhnya pada Jun 2021, melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan Rehat dan Rawat serta enam hentian.

Projek infrastruktur itu berhadapan dengan pengubahsuaian model Rakan Pelaksana Projek (PDP) apabila Kerajaan Persekutuan mengeluarkan surat penamatan kepada Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), rakan pelaksana projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak pada 20 Sept.

Walaupun surat penamatan dikeluarkan, semua 11 kontrak pakej kerja (WPC) untuk lebuh raya sepanjang 786.41 kilometer di Sarawak tetap diteruskan oleh kontraktor yang dilantik sebelum ini, sebelum Kementerian Kerja Raya mengambil alih.

“Penamatan terhadap PDP itu melibatkan penjimatan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.25 bilion, selaras dengan usaha kerajaan mengoptimum kos projek-projek,” katanya.

Pada 8 Okt, Baru menjelaskan perubahan model PDP bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak tidak akan menjejaskan skop, aspek keselamatan dan kelangsungan projek itu.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak akan mengguna pakai kepakaran teknikal sedia ada dalam melaksanakan projek secara konvensional.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan mengoptimumkan kos projek-projek yang memberi implikasi yang tinggi kepada negara. Mekanisme pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak telah diteliti semula dengan mengekalkan spesifikasi dan skop asal,” katanya.

Sehingga 30 Sept, prestasi kemajuan fizikal keseluruhan bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak melibatkan jajaran dari Telok Melano hingga ke Miri adalah 41 peratus berbanding jadual awal sebanyak 43 peratus.

Pada 6 Nov, pembayaran kepada kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo yang sepatutnya dibuat oleh syarikat PDP, syarikat Lebuhraya Borneo Utara (LBU), tertangguh selama tiga bulan.

Akibat daripada penangguhan pembayaran itu, Kementerian Kerja Raya menerima laporan berhubung kelewatan pelaksanaan projek.

Bermula pada Februari 2020, Kementerian Kerja Raya akan mengambil alih projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo itu sepenuhnya.