ARTIKEL

Projek pembangunan Betong bernilai RM740 juta, mula Ogos depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Senarai projek peringkat pertama Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bernilai RM740 juta yang kini menunggu keputusan Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) dijangka dapat dimulakan pada Ogos tahun ini atau lebih awal.

Pengerusinya yang juga Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, BDDA kini bersedia untuk memulakan pelaksanaan projek yang disenarai dalam peringkat pertama.

Menurutnya, kesemua Adun termasuk (beliau sendiri mewakili Bukit Saban) telah memuktamadkan projek mengikut keutamaan masing-masing.

“Kita telah memuktamadkan senarai projek peringkat pertama yang menelan kos lebih RM740 juta.

“Beberapa projek yang dirancang sedia untuk dilaksanakan selepas persiapan rapi.

“Saya berharap kesemua projek boleh dimulakan pelaksanaannya menjelang Ogos tahun ini atau lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutupan Bengkel Ketiga Pelaksanaan Projek BDDA di ibu negeri, hari ini.

Jelasnya, BDDA sekarang menunggu keputusan SFS tentang masa projek boleh dimulakan.

Tambah Uggah, masyarakat di Bahagian Betong sangat menunggu rancangan BDDA terutama dengan peruntukan besar iaitu RM1.5 bilion yang diterima untuk merancakkan pembangunan.

Setakat ini katanya lagi, tiada pertindihan cadangan dengan projek yang biasa diluluskan oleh agensi dan jabatan kerajaan lain di bahagian Betong.

“Malahan jawatankuasa BDDA boleh merancang untuk peringkat kedua projek menjelang Mei tahun ini.

“Selepas peringkat pertama yang terdiri daripada projek infrastruktur. Berikutnya kelak akan menyentuh sosioekonomi dan pelancongan.

“Bidang ini sama penting kerana kita mahu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengukuhkan kesejahteraan, seterusnya menambah baik taraf hidup mereka,” katanya.

Uggah mengharapkan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak untuk merealisasikan objektif penubuhan BDDA.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU