KUCHING: Projek pembinaan Kolumbarium St. Thomas, sebuah kemudahan baharu yang menyediakan sekitar 9,000 hingga 14,000 ruang penyimpanan abu untuk komuniti Kristian di Kuching dijangka siap pada hujung tahun depan.
Bishop Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei Rt. Revd Datuk Danald Jute berkata, projek yang dianggarkan menelan peruntukan berjumlah RM8.5 juta itu kini mencapai kemajuan sebanyak 60 peratus.
“Bangunan Kolumbarium mungkin akan siap lebih awal, tetapi kerja-kerja menyiapkan ruang penyimpanan abu mengambil sedikit masa kerana ia agak rumit.
“Kami merancang untuk menyediakan sekurang-kurangnya sejumlah 9,000 hingga 14,000 ruang tersebut, tetapi setakat ini anggaran kasar adalah sebanyak 9,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas 2024 di Rumah Bishop, Jalan McDougall, di sini, hari ini.
Kolumbarium tersebut dibina di lokasi strategik di tengah bandar raya Kuching, di kawasan antara Sekolah St. Thomas dan Muzium Sarawak lama.
Mengulas lanjut ujarnya, kerja-kerja pembinaan sedikit perlahan pada masa ini kerana terdapat dua lagi projek berjalan serentak di kawasan yang sama – pusat belia dan tadika.
“Tenaga kerja kini lebih tertumpu kepada dua lagi projek tersebut yang kini siap sekitar 50 hingga 60 peratus.
“Pendekatan ini adalah supaya ketiga-tiga bangunan tersebut kelak dapat disiapkan serentak. Namun setakat ini kami gembira dengan kemajuan yang dicapai,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas bantuan kewangan yang disalurkan untuk projek tersebut.
Sementara itu, beliau menjelaskan terdapat pelbagai lagi projek pembangunan giat dilaksanakan di kawasan lain di seluruh Sarawak melalui bantuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Kolumbarium adalah sebuah bangunan atau struktur yang dirancang khusus untuk menyediakan ruang penyimpanan abu. Ia biasanya terletak di kawasan perkuburan, gereja, atau bangunan memorial, menyediakan alternatif praktikal dan menjimatkan ruang bagi keluarga untuk mengenang orang tersayang.



