Projek perindustrian Bau bermula tahun ini

KUCHING: Kerja pembinaan bagi kawasan perindustrian Bau Fasa Satu dijangka bermula tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Beliau berkata, tapak untuk kawasan perindustrian itu dikenal pasti dan Kerajaan Sarawak sedang dalam proses melaksanakannya.

Menurutnya lagi, lokasi tapak perindustrian tersebut terletak berhampiran dengan Hospital Bau. “Kita akan membinanya secara berperingkat-peringkat. Kita bermula dengan fasa satu diikuti dengan fasa kedua.

“Diharapkan fasa pertama dapat dilaksanakan tahun ini,” katanya selepas menyampaikan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 sempena Sesi Pemimpin Bersama-sama Rakyat Daerah Bau 2020 di Kampung Bobak Sejinjang, semalam.

Beliau berkata, peruntukan bagi projek itu diluluskan namun beliau tidak dapat mendedahkan kosnya pada masa ini. Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, seorang perunding dilantik untuk membuat reka bentuk bangunan.

“Adanya tapak estet perindustrian ini, ia akan memberikan banyak peluang perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana di kawasan ini. “Jika kita lihat di sekeliling, terdapat banyak produk pertanian terbiar di sini. Dengan adanya kawasan perindustrian ini, kita boleh menggunakan sumber dan memprosesnya menjadi makanan atau kraf tangan pada masa akan datang, ” katanya.

Tahun lalu ketika membentangkan Bajet Negeri 2020, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM65 juta untuk pembangunan estet perindustrian di seluruh negeri mulai tahun ini.

Suara Sarawak