KUCHING: Agensi pelaksana diseru untuk mempercepat pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mengelakkan limpahan ke RMK-13 yang boleh menjejaskan inisiatif baharu, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, peningkatan siling kepada RM40 bilion di bawah RMK-12 membolehkan pelaksanaan 1,396 projek strategik bagi merapatkan jurang infrastruktur serta memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Daripada jumlah itu, 987 projek (71 peratus) merupakan projek fizikal, manakala baki 409 (29 peratus) melibatkan projek bukan fizikal merangkumi geran, sumbangan, pelaburan, aktiviti dan acara.
“Setakat ini, 308 projek fizikal telah siap sepenuhnya, manakala 679 lagi berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, menunjukkan kemajuan berterusan terhadap sasaran pembangunan negeri yang dirancang.
“Secara keseluruhan, RM31 bilion (78 peratus) daripada siling RMK-12 telah dibelanjakan dan perbelanjaan dijangka meningkat seiring kemajuan projek yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Sementara itu, di bawah Rancangan Boleh Pinda Keempat, sejumlah RM5.3 bilion telah diluluskan bagi melaksanakan 1,128 projek dengan RM4.5 bilion (85 peratus) sudah dibelanjakan.
Sebanyak 294 projek berjaya disiapkan, manakala selebihnya sedang berjalan pada pelbagai peringkat pelaksanaan, mencerminkan komitmen berterusan terhadap pembangunan negeri.
Mengulas mengenai Rancangan Boleh Pinda Kelima, Uggah memaklumkan 1,196 projek bernilai RM5.7 bilion telah diluluskan setakat ini, merangkumi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.
“Sehingga September 2025, perbelanjaan mencecah RM3 bilion (52 peratus) dengan 248 projek (21 peratus) telah siap, manakala projek selebihnya sedang dilaksanakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan kekal komited memajukan inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menggalakkan pertumbuhan seimbang di seluruh negeri.
Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM7.5 bilion untuk melaksanakan 1,064 projek, merangkumi 1,056 projek fizikal dan lapan projek bukan fizikal.
Sementara itu, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus memainkan peranan penting merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui inisiatif berasaskan komuniti yang menumpukan keperluan setempat. Sebanyak RM3.7 bilion telah dibelanjakan di bawah RMK-12 dengan 9,287 projek siap, manakala selebihnya masih diteruskan.
Kerajaan turut mengutamakan keperluan komuniti rentan agar pembangunan kekal inklusif melalui Projek Luar Bandar Kecil – Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS).
Manakala di bawah Projek Rakyat, usaha meningkatkan keterhubungan, menambah baik kemudahan awam dan mempercepat transformasi luar bandar terus menunjukkan kemajuan yang stabil.
“Usaha kolektif ini menggambarkan komitmen berterusan kita untuk memupuk pembangunan yang inklusif, lestari dan seimbang di seluruh negeri,” katanya.



