BINTANGOR: Sebuah gelanggang berbumbung baharu yang siap dibina di Gereja Kai Nguong Methodist, di sini, bakal menjadi lokasi penting bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek bernilai RM300,000 itu dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih berkualiti untuk rakyat.
“Kemudahan ini bukan sekadar menyediakan lokasi bagi aktiviti riadah dan sukan, malah berfungsi sebagai pusat pertemuan masyarakat untuk menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat.
“Kewujudannya juga mampu memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk melalui penganjuran program keagamaan, aktiviti belia, majlis kemasyarakatan dan lain-lain lagi,” katanya ketika menghadiri upacara ringkas penyerahan projek siap itu, hari ini.
Sehubungan itu, Kuong Hiing berharap pihak Gereja Kai Nguong Methodist memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut dengan merancang pelbagai program yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat tanpa mengira peringkat usia.
Katanya, penyediaan infrastruktur yang lengkap dan selesa memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi melahirkan komuniti yang lebih aktif, bersatu padu dan berdaya saing.
“Sebagai wakil rakyat, saya akan terus memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan kemudahan awam di kawasan DUN Meradong agar setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya sambil menegaskan pelaksanaan projek RTP akan diteruskan secara berperingkat mengikut keutamaan bagi memastikannya dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Tambahnya, kejayaan menyiapkan projek gelanggang berbumbung itu menjadi satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui penyediaan kemudahan yang lebih moden, selesa dan memenuhi keperluan penduduk.






