KAPIT: Projek Skim Penempatan Semula Selirik di Kapit menunjukkan perkembangan positif dan mendahului jadual berdasarkan tinjauan yang dilakukan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semalam.
Katanya, sehingga 25 Mac lalu, kemajuan fizikal projek ialah 53.55 peratus iaitu sebanyak 1.87 peratus mendahului jadual.
“Untuk fasa pertama, projek yang bernilai lebih RM17 juta ini bakal menyediakan sebanyak 50 lot individu dari jumlah keseluruhan projek iaitu sekitar 130 lot individu.
“Projek di kawasan ini adalah seluas 24.7 hektar merangkumi lot kediaman, cadangan jalan masuk, sistem perparitan dan sistem bekalan air terawat,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit itu turut berasa gembira dan bangga dengan kemajuan projek tersebut.
Jelasnya, projek itu dilaksanakan bagi menempatkan semula penduduk di setinggan dan mereka yang berpendapatan rendah di sekitar kawasan perumahan itu.
Katanya lagi, apabila projek tersebut siap, skim penempatan semula ini akan menyediakan kemudahan infrastruktur lengkap seperti bekalan elektrik, air, perkhidmatan telekomunikasi yang lebih terancang dan teratur.



