ZAFIRAH HILMI (Pelatih UNIMAS)
KUCHING: Sarawak Energy kini melaksanakan projek talian penghantaran 275kV, Projek Pengukuhan Rangkaian Kuching (KNR) bagi menambah baik sistem bekalan elektrik sedia ada.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, pelaksanaan projek tersebut bertujuan menampung peningkatan permintaan yang tinggi daripada pengguna di Kuching dan Samarahan.
Menurut beliau, projek KNR Fasa Satu yang menghubungkan Entingan di Samarahan ke Tanjong Bako telah pun bermula sejak Disember 2023.
“Projek bagi fasa satu ini disasarkan siap sepenuhnya pada suku kedua 2028.
“Bagi KNR fasa dua yang menghubungkan Tanjong Bako, Demak Laut, Santubong serta Matang, ia kini berada dalam peringkat kajian kebolehlaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut KNR fasa dua, Julaihi menjelaskan kajian tersebut dijadualkan siap pada suku pertama 2027 dengan anggaran kos pembinaan mencecah RM2.4 bilion.
Kerja pembinaan fizikal pula dijangka bermula pada suku keempat 2028.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak juga berjaya menjimatkan kos diesel sebanyak RM150 juta setahun melalui Projek Penyambungan Grid Utara.
Projek bernilai RM2.1 bilion yang dilaksanakan sejak 2020 itu bertujuan menyambungkan Lawas dan Limbang ke Grid Utama 275kV bagi menghentikan kebergantungan kepada stesen jana kuasa diesel dengan beralih kepada tenaga hidro.
“Talian grid utama disambungkan ke Lawas pada 4 Disember 2025, manakala Limbang pula dijangka disambung pada bulan Julai depan,” jelasnya.
Penyambungan ke grid itu terbukti meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di Lawas apabila indeks purata gangguan (SAIDI) turun mendadak daripada 115 minit bagi suku pertama 2025 kepada hanya 29 minit bagi tempoh yang sama tahun ini.
Sementara itu, berkenaan sistem grid utama di kawasan lain, beliau memberitahu talian penghantaran 500kV dari Bunut ke Similajau bernilai RM3.4 bilion siap sepenuhnya sejak Ogos tahun lalu.
Kemudahan tersebut melengkapkan sistem grid voltan tinggi dari Wilayah Utara (Bunut, Miri dan Similajau, Bintulu) ke Wilayah Tengah (Mapai, Sibu) dan seterusnya ke Wilayah Selatan (Tondong, Bau).



