ARTIKEL

TINJAU… Dr. Sim Kui Hian meninjau projek kolam takungan banjir di Lorong Desa Wira 7, Kuching.

Projek tebatan banjir Batu Kawa Fasa 1 siap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek kolam takungan banjir bernilai RM14.5 juta di Lorong Desa Wira 7 siap sepenuhnya sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang menangani banjir di Batu Kawa dan kawasan sekitarnya.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, projek di bawah Program Tebatan Banjir Batu Kawa Fasa 1 itu direka bagi menakung sementara jumlah air hujan yang besar ketika hujan lebat, khususnya apabila sistem saliran sedia ada tidak mampu mengalirkan air dengan cepat.

“Kolam takungan ini meliputi kawasan kira-kira 1.4 hektar, bersamaan sekitar 40 lot rumah berkembar, dengan kapasiti takungan kira-kira 40,000 meter padu air atau bersamaan 12,000 lori tangki air,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

KOLAM TAKUNGAN… Projek kolam takungan banjir di Lorong Desa Wira 7 yang siap sepenuhnya sebagai sebahagian Program Tebatan Banjir Batu Kawa Fasa 1.

Menurutnya, projek itu merangkumi pembinaan saluran perparitan konkrit bertetulang sepanjang 2.5 kilometer, laluan pejalan kaki, pagar keselamatan, kerja menaik taraf kawasan sekitar kolam takungan serta penambahbaikan sistem saliran dalaman sedia ada.

“Ketika hujan lebat, kolam takungan ini akan menyimpan sementara lebihan air hujan sebelum dilepaskan secara berperingkat ke Projek Tebatan Banjir Desa Wira Fasa 2 yang sedang dibina Kerajaan Sarawak dengan kos RM36.6 juta, sebelum dipam ke Sungai Maong apabila paras air surut.

“Apabila tidak digunakan untuk menyimpan air hujan, kawasan ini kekal sebagai padang terbuka yang boleh dimanfaatkan komuniti untuk aktiviti rekreasi seperti bola sepak dan acara luar,” jelasnya.

Dr. Sim turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau juga menghargai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak atas penyeliaan rapi, kontraktor yang melaksanakan projek dengan penuh tanggungjawab serta penduduk berhampiran atas kerjasama sepanjang tempoh pembinaan.

Katanya, pihak berkuasa turut meneliti kaedah untuk memaksimumkan nilai rekreasi kawasan berkenaan ketika cuaca kering.

Selain itu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM63.88 juta bagi projek menaik taraf saliran melibatkan dua kolam takungan di tapak seluas tujuh ekar di tanah kosong berhadapan Batu Kawa New Township dan berhampiran Pine Square Commercial Centre.

“Apabila siap kelak, projek ini akan memperkukuh kapasiti tebatan banjir di kawasan tersebut serta menambah baik keseluruhan sistem saliran di Batu Kawa.

“Penyelesaian kepada isu yang berlarutan ini memerlukan lebih daripada sekadar menaik taraf satu atau dua longkang.

“Ia memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk menambah baik sistem saliran dalaman dan luaran serta membina kolam takungan bagi menyediakan penyelesaian tebatan banjir yang berkesan dan mampan,” katanya.

INFRASTRUKTUR… Projek kolam takungan banjir di Lorong Desa Wira 7 bakal membantu mengurangkan risiko banjir di Batu Kawa dan kawasan sekitarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof atas peruntukan RM2.4 bilion bagi pembinaan terusan lencongan banjir utama sepanjang lapan kilometer.

“Terusan ini bertujuan menyalurkan lebihan air dari Sungai Sarawak ke Sungai Salak ketika air pasang dan hujan lebat, sekali gus mengurangkan risiko banjir di Kuching dan kawasan sekitarnya.

“Projek yang dicadangkan bermula dari Batu Kawa dan dilaksanakan secara berfasa itu turut merangkumi pembinaan pintu air pasang surut di muara sungai bagi menghalang kemasukan air laut ketika air pasang.

“Keseluruhan projek itu dijangka bermula tahun depan,” katanya.

Dr. Sim menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan JPS Sarawak serta agensi berkaitan bagi melaksanakan langkah tebatan banjir jangka panjang dan memastikan Batu Kawa kekal sebagai komuniti yang lebih selamat, berdaya tahan serta selesa didiami.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU