KUCHING: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Maong Kiri bernilai kira-kira RM100 juta kini memulakan kerja persiapan tapak bagi menangani masalah banjir di beberapa kawasan utama sekitar pusat bandar Kuching.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, projek yang dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh 30 bulan itu melibatkan kerja pelebaran dan pendalaman sungai, pembinaan kolam takungan serta penambahbaikan sistem saliran di sepanjang jajaran kira-kira lima hingga enam kilometer.
“Projek yang dianugerahkan kepada kontraktor lebih sebulan lalu ini akan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko banjir termasuk Hui Sing, Pusat Perubatan Timberland, Podium, Sungai Maong dan Stapok.
“Projek ini sangat penting kerana melibatkan banyak kawasan, bukan hanya satu lokasi. Kita perlu melihat keseluruhan aliran sungai dan melaksanakan langkah mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RTB Sungai Maong Kiri di kawasan Pusat Perubatan Timberland, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, kawasan yang mempunyai ruang terhad seperti berhampiran Pusat Perubatan Timberland memerlukan pembinaan kolam takungan sementara bagi menampung lebihan air ketika hujan lebat.

“Kolam takungan ini akan digali kira-kira 10 kaki lebih dalam supaya apabila hujan lebat dan paras air sungai meningkat, lebihan air dapat ditampung sementara di kawasan tersebut.
“Dengan cara ini, air akan mengalir ke kolam takungan yang lebih rendah dan bukannya memasuki rumah penduduk,” jelasnya.
Tambahnya, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan longkang konkrit bertetulang bertutup dari kawasan Pusat Perubatan Timberland bagi melancarkan aliran air ke sistem saliran utama, sekali gus membantu mengatasi kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan hospital tersebut.
Mengulas tempoh pelaksanaan projek, beliau menjelaskan, kewujudan pelbagai utiliti bawah tanah termasuk paip air dan kabel elektrik menjadi antara cabaran utama yang memerlukan kerja perancangan serta penyelarasan rapi.
“Di kawasan ini terdapat banyak kemudahan utiliti yang dibina sejak dahulu. Disebabkan itu projek ini mengambil masa 30 bulan kerana kita perlu memastikan kerja dilaksanakan dengan teliti tanpa menjejaskan bekalan air dan kemudahan lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan penyelenggaraan sistem pam di kawasan rendah kerana kegagalan pam berfungsi ketika hujan lebat boleh menyebabkan banjir walaupun kemudahan saliran telah disediakan.
Sehubungan itu, Dr. Sim menggalakkan pelibatan komuniti dalam membantu memantau kemudahan awam termasuk sistem pam dan saliran supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti lebih awal.
“Usaha menangani banjir bukan hanya tanggungjawab kerajaan. Penduduk juga boleh memainkan peranan dengan membantu memantau keadaan kemudahan di kawasan masing-masing.
“Kita mahu pembangunan ini memberi manfaat kepada seluruh komuniti dan bukannya menyelesaikan masalah di satu kawasan sehingga menjejaskan kawasan lain,” katanya.




