TANJUNG MANIS: Projek menaik taraf Tebingan Pantai Belawai yang melibatkan kos RM161 juta kini berada di peringkat akhir penyediaan reka bentuk sebelum pelaksanaannya dimulakan.
Pembangunan itu bakal merangkumi kawasan pesisir pantai sepanjang kira-kira dua kilometer, bermula dari Pejabat Pengairan dan Saliran hingga ke Kampung Belawai, sekali gus dijangka menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata projek berimpak tinggi itu akan menyediakan pelbagai kemudahan awam serta kawasan rekreasi yang lebih moden dan selesa untuk dimanfaatkan penduduk serta pengunjung.
“Usaha ini bukan sekadar memberi wajah baharu kepada Pantai Belawai, malah akan mewujudkan ruang riadah yang lebih sistematik selain dilengkapi pelbagai kemudahan bagi meningkatkan daya tarikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya ketika merasmikan GP Belawai Siri 1/2026 di Pantai Iftitah Restaurant and Resort, Belawai, semalam.
Len Talif berkata kerajaan turut melaksanakan pembinaan struktur pemecah ombak di Tanjung Manat yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM60 juta sebagai langkah jangka panjang bagi menangani masalah hakisan pantai.
Beliau menjelaskan pembinaan pemecah ombak sepanjang 700 meter itu amat penting kerana berfungsi mengurangkan impak ombak besar yang selama ini menyebabkan hakisan serius di kawasan pesisir Pantai Belawai.
Tambahnya, isu hakisan berkenaan semakin membimbangkan kerana sebahagian tanah milik penduduk yang terletak berhampiran pantai telah mengalami penyusutan sehingga ratusan meter akibat ditelan laut.
“Terdapat kawasan di seberang Belawai yang kini telah banyak terjejas akibat hakisan sehingga sebahagian tanah telah ditelan laut, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan kehilangan tanah yang lebih besar.
“Sehubungan itu, pembinaan pemecah ombak dijangka mampu melindungi tanah milik penduduk daripada terus terhakis, selain memastikan aset awam dan kemudahan infrastruktur yang dibangunkan kerajaan tidak terdedah kepada ancaman ombak,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Len Talif berkata kerajaan turut merancang membangunkan sebuah padang golf dan hotel di kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sektor pelancongan serta menarik lebih ramai pelabur ke Belawai.
Beliau menegaskan semua perancangan itu bukanlah projek jangka pendek atau pembaziran, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk Belawai dalam jangka panjang.
Pertandingan anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan kerjasama Iftitah Restaurant and Resort itu disertai lebih 300 peserta bukan sahaja dari Belawai, malah Mukah, Sibu, Kuching, Bintulu dan lain-lain.






